DAERAH Bagan Datuk secara tradisinya dikenali sebagai kawasan berasaskan pertanian, perladangan dan perikanan yang menjadi sumber rezeki utama masyarakat setempat.
Sektor-sektor ini kekal relevan dan terus diperkasa melalui pemodenan, peningkatan produktiviti serta sokongan rantaian nilai, agar manfaat pembangunan dapat dinikmati secara inklusif oleh semua lapisan masyarakat.
Pembangunan QL Innofood Park di Hutan Melintang dengan anggaran kos pelaburan berjumlah RM1.2 bilion menandakan bermulanya satu pelaburan industri berskala besar yang dirancang secara berfasa dan berjangka panjang.
Pembangunan taman industri ini dirancang untuk dilaksanakan dalam tempoh kira-kira 10 tahun dan sekali gus mencerminkan komitmen berterusan pelabur terhadap potensi dan hala tuju pembangunan Daerah Bagan Datuk.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dalam ucapannya semasa Majli Majlis Pecah Tanah Taman Industri QL Innofood Park pada Ahad menyuarakan pembangunan QL Innofood Park hadir pada masa tepat dan selari dengan hala tuju pembangunan wilayah berkenaan.
Menurut beliau, QL Innofood Park adalah antara contoh pelaburan yang dirancang dengan pandangan jauh kerana dimaklumkan bahawa ia bukan projek jangka pendek tetapi pelaburan berfasah.

“Ia juga hadir apabila wujudnya dasar yang stabil, hala tuju jelas dan kepimpinan yang diyakini. Sebagai Menteri Besar, tentulah saya mengharapkan kestabilan politik yang ada di negeri Perak ini disokong dengan kestabilan politik di peringkat persekutuan.
“Maka apa juga perancangan untuk pembangunan masa kini dan masa hadapan akan dapat kita teruskan bersama,” katanya.
Tidak cukup sekadar itu, pembangunan QL Innofood Park juga mencerminkan keyakinan pelabur terhadap kestabilan dasar negeri, kejelasan perancangan serta keupayaan Kerajaan Negeri Perak menyediakan persekitaran pelaburan yang diyakini.
Apa yang lebih penting, projek ini membuka ruang baharu kepada usaha memperkukuh struktur ekonomi Daerah Bagan Datuk secara lebih tersusun dan mampan.
3,000 peluang pekerjaan bakal menanti rakyat Perak
Dalam mendepani perubahan struktur ekonomi dan keperluan pasaran semasa, Bagan Datuk perlu dipacu dengan pembangunan industri bernilai tambah tinggi yang mampu meluaskan asas ekonomi daerah.
Daripada sudut kerajaan negeri, nilai utama pembangunan tersebut terletak pada kesannya kepada rakyat memandangkan apabila dilaksanakan sepenuhnya, projek itu dijangka menyediakan peluang pekerjaan merangkumi pelbagai peringkat kemahiran.
Peluang tersebut memberi ruang kepada anak-anak tempatan di Bagan Datuk untuk membina kerjaya yang stabil berhampiran tempat tinggal, sekali gus membantu mengurangkan penghijrahan tenaga kerja ke luar daerah.
Saarani dalam ucapannya juga berkata, kira-kira 3,000 peluang pekerjaan bakal disediakan melalui pembangunan QL Innofood Park untuk warga setempat khususnya dan Perak amnya.

Turut sama, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad. Foto ABDULLAH YUSOF 25 JANUARI 2026.
Peluang pekerjaan yang diwujudkan di peringkat tempatan sudah pasti akan memberi kesan langsung kepada kualiti hidup masyarakat.
Ia mengukuhkan struktur sosial, mengekalkan kebersamaan komuniti serta merancakkan aktiviti ekonomi setempat melalui peningkatan perbelanjaan domestik dan sokongan kepada perniagaan kecil dan sederhana.
Selari dengan Pelan Perak Sejahtera 2030 pembangunan QL Innofood Park perlu dilihat dalam konteks perancangan wilayah yang lebih luas di mana Daerah Bagan Datuk merupakan sebahagian daripada pembangunan Lumut Maritime Industrial City (LuMIC), khususnya LuMIC 6 dan LuMIC 7 yang melibatkan kawasan sekitar Bagan Datuk.
Rangka pembangunan ini membentuk jaringan industri dan sokongan logistik yang saling melengkapi, sekali gus mengukuhkan kedudukan Negeri Perak sebagai destinasi pelaburan strategik.
Dalam konteks tadbir urus negeri, Kerajaan Negeri Perak memberi penekanan kepada kesinambungan dasar pembangunan agar setiap pelaburan yang dibawa masuk dapat dilaksanakan secara konsisten dan terancang.
Pendekatan ini memastikan keyakinan pelabur terus terpelihara, pada masa yang sama kepentingan rakyat setempat kekal menjadi keutamaan selaras dengan aspirasi Perak Sejahtera 2030. -MG Perak


