IPOH – Tindakan aktivis dan pelakon, Rafidah Ibrahim yang dilihat cuba membangkitkan semula isu bangunan lama Surau al-Karamah di Kampung Seri Keramat, Pasir Puteh dekat sini disifatkan sebagai cubaan menanam sentimen kebencian rakyat kepada kerajaan.
Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Ipoh Timor, Izzuddin Hariz berkata, hakikat sebenar surau berkenaan tidak ditutup sebaliknya ia telah digantikan dengan sebuah bangunan baru yang lebih selesa.
Justeru beliau meminta agar semua pihak untuk tidak cuba mempolitikkan isu ‘Rumah Allah’ hanya untuk meraih kepentingan peribadi.
“Malangnya, ada individu luar seperti Rafidah Ibrahim datang ke Perak semata-mata untuk menghidupkan kebencian, seolah-olah umat Islam di sini dizalimi.
“Realitinya, ia hanyalah cubaan untuk menanam sentimen, membuat rakyat benci kerajaan, dan menonjolkan diri sebagai ‘terpaling dizalimi’.
“Fakta tetap fakta ini bukan isu agama, bukan isu bangsa. Ia hanya soal peralihan ke surau baharu yang lebih baik,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Izzuddin, pihak berkuasa negeri sudah pun mengambil tindakan perlu berhubung isu Surau al-Karamah itu.
Ujar beliau, bangunan surau baru sudah siap sepenuhnya dengan segala kelengkapan hasil usaha Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) untuk kegunaan kariah.
“Dari sudut hukum pula, Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak telah pun membuat keputusan bahawa perobohan surau lama dibenarkan kerana sudah ada surau pengganti.
“Malah, JAIPk (Jabatan Agama Islam Perak) sendiri telah menyeru kariah agar bertenang dan berlapang dada menerima surau baharu ini,” katanya lagi.
Terdahulu Rafidah menerusi video pendek di media sosial mendakwa Surau al-Karamah di Pasir Puteh dekat sini bakal dirobohkan oleh pemaju perumahan kerana ia bakal dibina jalan raya.
Menurut laporan media sebelum ini, isu yang pernah dibangkitkan kira-kira empat tahun lalu itu telah diselesaikan dengan baik melalui pembinaan sebuah bangunan surau baru yang terletak tidak jauh dari tapak surau lama. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Surau al-Karamah: ‘Isu sudah lama selesai, orang luar cuba ungkit’