KUALA LUMPUR – Walaupun Datuk Seri Rafizi Ramli mendakwa menulis sebanyak 123 artikel mengenai 1Malaysia Development Berhad (1MDB) namun dia bukan jaguh dalam kes tersebut.
Bahkan bekas Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu juga bukan jaguh isu National Feedlot Corporation (NFC), mahupun Lembaga Tabung Haji (TH).
Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr. Mohd Puad Zakarshi berkata, Rafizi perlu ingat dalam kes NFC banyak pihak jadi mangsa dan ia terbukti apabila pada tahun 2023 mahkamah tinggi putuskan pengerusi syarikat tersebut, Datuk Mohd Salleh dan tiga anaknya tidak bersalah.
Bahkan, mahkamah persekutuan memutuskan Public Bank bersalah kerana membocorkan maklumat akaun NFC yang digunakan oleh Rafizi memfitnah keluarga Tan Sri Sharizat Abdul Jalil selama 12 tahun dan bank tersebut kena bayar RM90 juta.
“Masihkah Rafizi ingat?,” soal Puad.
Tambahnya, Rafizi juga disabitkan bersalah dan dihukum 30 bulan penjara dalam kes Akta Perbankan dan Institusi Kewangan (Bafia) 1989 tetapi mahkamah tinggi telah membebaskannya.
Puad mendakwa, Rafizi selamat kerana Tommy Thomas yang menjadi peguam negara ketika itu telah tarik balik rayuan.
Malah, dalam kes Tabung Haji, mahkamah putuskan Rafizi mesti membela diri namun pada hari pertama prosiding Tommy Thomas arah pendakwaraya tarik balik kes.
“Apakah Rafizi ingat?,” soal Puad lagi sambil menyatakan Rafizi dihukum penjara 18 bulan bagi kes Akta Rahsia Rasmi (OSA).
Sebaliknya, dakwaya, Rafizi sosok penghasut yang memanipulasi maklumat bocor.
Dua hari lalu, Rafizi menerusi media sosialnya berkata, di antara tahun 2013 hingga 2022, beliau menulis 123 artikel mengenai 1MDB.
Malah, katanya, dia dijatuhkan hukuman penjara 18 bulan bersabit kes 1MDB seawal November 2016. – MalaysiaGazette


