Rafizi letak jawatan

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli telah menghantar surat peletakan jawatan dari Jemaah Menteri kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Peletakan jawatan tersebut berkuat kuasa dari 17 Jun 2025 dan bermula hari ini beliau akan menghabiskan cuti tahunan sehingga 16 Jun.

“Saya menyertai politik untuk membudayakan politik baru yang berteraskan kebertanggungjawaban dan mandat rakyat. Kekalahan saya dalam pemilihan PKR baru baru ini bermakna saya tidak lagi mempunyai mandat dari parti saya untuk menterjemahkan agenda rakyat yang digagaskan oleh PKR menjadi program kerajaan.

Seperti mana amalan di negara-negara yang menitikberat prinsip demokrasi, pemimpin yang kalah dalam pemilihan parti perlu memberi laluan kepada pemimpin yang menang mengambil tempat di dalam kerajaan,” katanya.

Artikle berkaitan:

Rafizi yang tewas  kepada Nurul Izzah dalam pemilihan PKR baru-baru ini mengucapkan jutaan terima kasih kepada kepimpinan dan kakitangan Kementerian Ekonomi yang telah memberi dukungan penuh kepadanya sepanjang beliau di kementerian tersebut.

“Saya telah melihat sendiri kecekapan dan kemampuan sebahagian besar penjawat awam di sini, yang berupaya merangka dasar dan disusuli dengan kerangka program yang berkesan.

“Saya yakin program-program untuk membaiki struktur ekonomi negara yang telah dipelopori oleh Kementerian Ekonomi akan terus dilaksanakan dengan jaya oleh penjawat-penjawat awam.

Ahli Parlimen Pandan itu berkata, amanah terakhirnya sebagai Menteri Ekonomi telah disempurnakan dengan penghasilan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang telah dimuktamadkan dan menunggu untuk dibentangkan di Parlimen dalam sidang yang seterusnya.

Katanya, RMK13 telah digubal untuk memberi penekanan kepada reformasi pendidikan yang lebih menyeluruh, termasuk beberapa reformasi struktur yang melibatkan Kementerian Pendidikan.

“Saya berharap Jemaah Menteri tetap mengekalkan beberapa reformasi berani yang melibatkan Kementerian Pendidikan di dalam RMK13, walaupun saya tidak lagi berada di dalam Jemaah Menteri.

“Akhir sekali, saya mengambil peluang ini untuk mengucapkan penghargaan kepada rakyat Malaysia, penjawat awam, pihak swasta, pihak media dan semua pemegang taruh yang pernah berurusan sepanjang saya menjadi Menteri Ekonomi.

“Perjalanan kita untuk merubah struktur ekonomi negara menjadi lebih kukuh dan mencapai status negara berpendapatan tinggi adalah masih jauh. Oleh itu, kita wajar terus mengambil keputusan yang baik untuk jangka panjang, walaupun keputusan itu sukar dan berliku, demi generasi masa hadapan,” katanya.

Rafizi dalam siri kempen HIRUK sebelum pemilihan PKR pernah berjanji akan meletakkan jawatan jika tewas dalam pemilihan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI