Rafizi persoal siapa bocorkan suratnya kepada Anwar, Fuziah

IPOH – Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Rafizi Ramli memakluman bahawa beliau tidak akan merasmikan Kongres Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan Wanita Keadilan pada 22 Mei ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pandan itu menjelaskan bahawa perkara tersebut adalah sulit kerana surat pemakluman hanya dihantar kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan salinan kepada Setiausaha Agung, Fuziah Salleh.

Rafizi meluahkan rasa kesal kerana kandungan surat sulit itu telah dibocorkan kepada umum, walaupun ia hanya ditujukan kepada dua individu dalam parti selain mempersoalkan pihak yang menyebarkan maklumat tersebut.

“Memang betul saya telah tulis kepada Datuk Seri Presiden (Anwar) bahawa saya tidak berhajat untuk memenuhi jemputan merasmikan Kongres AMK dan Wanita.

“Yang bocorkan itu sumber parti juga. Aku tulis surat kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim (Presiden PKR), salinannya kepada Setiausaha Agung (Fuziah). Ini dua orang sahaja.

“Ini siapa yang bocorkan (surat), macam mana boleh bocor? Surat itu surat sulit. Bukan saja bocor melalui berita, surat itu keluar terus,” katanya.

Rafizi persoal siapa bocorkan suratnya kepada Anwar, Fuziah
Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli bergambar hadir ke program Jelajah Hidupkan Idealisme Reformasi Dalam Ujian Kuasa (HIRUK) di Dewan Komuniti Taman Cempaka, Ipoh, pada Ahad. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 18 MEI 2025.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada program Jelajah Hidupkan Idealisme Reformasi Dalam Ujian Kuasa (HIRUK) Perak di Dewan Komuniti Taman Cempaka di sini pada Ahad.

Hadir sama, Naib Presiden PKR, Datuk Seri Aminuddin Harun dan calon Timbalan Ketua Wanita PKR, Rodziah Ismail.

Dalam perkembangan berkaitan, Menteri Ekonomi itu berkata, sepatutnya pimpinan parti perlu mengikut adab dan hierarki.

“Kita ada adab dan hierarki dalam parti. Memang betul adab dan hierarki tradisi parti Timbalan Presiden merasmikan Kongres AMK dan wanita.

“Tetapi adab dalam parti, hierarki dalam parti juga ialah melancarkan jentera pilihan raya sesuatu yang sepenting seperti Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah itu adalah adabnya dilakukan oleh Timbalan Presiden yang juga Pengarah Pilihan Raya.

“Ada adabnya. Sedangkan kita dah umumkan bahawa kita akan ada jelajah Hiruk di Sabah pada hari Sabtu, semalam.

Rafizi persoal siapa bocorkan suratnya kepada Anwar, Fuziah
Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli hadir ke program Jelajah Hidupkan Idealisme Reformasi Dalam Ujian Kuasa (HIRUK) di Dewan Komuniti Taman Cempaka, Ipoh, pada Ahad. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 18 MEI 2025.

“Kita dah tetapkan 2.30 (petang) semua orang dah tahu, masa itu tak ada cerita nak lancar jentera pilihan raya, dan Izzah (Nurul Izzah) pada ketika itu mengikut maklumat akan pergi berkempen di Sabah pada 19 haribulan,” ujarnya.

Katanya, tiada sebarang perbincangan mengenai perkara tersebut sama ada menerusi Biro Politik atau Majlis Pimpinan Pusat menyatakan calon Timbalan Presiden, Nurul Izzah dan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari akan melancarkan jentera pilihan raya itu pada hari dan masa yang sama.

“Saya tak kisah, kau nak pikul (tanggungjawab sebagai Timbalan Presiden dan Pengarah Pilihan Raya) sangat silalah, saya tak ada masalah,” katanya.

Sebelum ini beberapa media melaporkan kenyataan awal Rafizi untuk tidak merasmikan kongres dua sayap tersebut, biarpun secara tradisi ia dilakukan oleh Timbalan Presiden parti. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Yuran pencalonan PKR tinggi, patutlah kad kredit Rafizi kena ‘reject’

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI