IPOH – Raja Dihilir Perak, Raja Iskandar Dzurkarnain Idris Shah berkenan berangkat ke Majlis Bacaan Yasin dan Tahlil sempena Sambutan Hari Pahlawan Peringkat Negeri Perak di Masjid Sultan Azlan Shah, di sini pada Jumaat.
Hadir sama, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad; Pegawai Kewangan Negeri Perak, Datuk Mohd Zaki Mahyudin dan Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam.
Turut bersama-sama dalam majlis itu, Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), Tan Sri Mohd Annuar Zaini dan Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), Datuk Harith Fadzilah Abdul Halim.
Majlis yang dihadiri lebih 1,000 jemaah itu dimulakan dengan bacaan Surah Yasin dan Tahlil.

Seterusnya, majlis tersebut disusuli dengan Khutbah Jumaat bertajuk, ‘Menghargai Bakti Wira Bangsa – Wira Negara’ yang disampaikan oleh Inspektor Adib Azimat dari Cawangan Khas, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak, Inspektor Adib Azimat.
Usai khutbah, jemaah menunaikan solat Jumaat yang diimamkan Imam Utama Masjid Sultan Azlan Shah, Syed Mohd Muzaffar Syed Azlan.
Terdahulu, beberapa saranan turut disampaikan dalam khutbah tersebut yang menjelaskan bahawa tugas anggota pasukan pertahanan dan keselamatan adalah tugas murni menyempurnakan fardu kifayah yang inshaAllah akan dilimpahi ganjaran dunia dan akhirat.
“Umat sewajibnya menghargai khidmat para anggota pertahanan dan keselamatan yang berkorban jiwa raga untuk nusa dan bangsa.
“Hulurkan sokongan, pertolongan dan bantuan kepada mereka terutama selepas mereka bersara, dan dalam kalangan mereka yang cedera, cacat dan kehilangan anggota.
“Demikian juga dihulurkan bantuan dan sokongan kepada anggota keluarga mereka, terutama ibu bapa yang kehilangan anak, balu yang kehilangan suami, serta anak-anak yang menjadi yatim.
“Justeru, umat diminta mendoakan wira bangsa dan negara kita dikurniai ketabahan dan kecekalan hati untuk terus berbakti kepada nusa dan bangsa, serta mendapat petunjuk dan perlindungan Ilahi ketika bertugas,” katanya.
Pada masa sama, umat diharap bermurah hati menghulurkan sumbangan dan derma ke Tabung Pahlawan termasuk mempertimbangkan supaya sebahagian daripada kutipan tabung masjid pada hari ini, disumbangkan ke tabung tersebut.
“Mimbar menzahirkan penghargaan kepada anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang berkorban menabur khidmat bakti kepada nusa dan bangsa.
“Turut dihargai jasa bakti agensi-agensi sokongan dan pelengkap, membantu tugas-tugas pertahanan, keselamatan dan ketenteraman awam.
“Ini merangkumi anggota-anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), dan unit-unit keselamatan sama ada dalam institusi kerajaan mahu pun badan bukan kerajaan,” ujarnya.
Sambutan Hari Pahlawan yang disambut pada 31 Julai setiap tahun diadakan bagi memperingati serta menghargai jasa pengorbanan anggota pasukan pertahanan dan keselamatan, yang mengabadikan jiwa raga mereka, berkhidmat mempertahankan kedaulatan negara demi kesejahteraan rakyat. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Sultan Nazrin berangkat ke Majlis Sambutan Hari Pahlawan