TELUK INTAN – Seorang doktor yang juga pegawai perubatan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Teluk Intan pada Jumaat atas kesalahan mengaibkan seorang wanita dengan merakam video punggung dan badan mangsa, pada Julai lalu.
Tertuduh, Amirul Haqim Ayub, 31, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Naidatul Athirah Azman.
Mengikut pertuduhan, lelaki yang sudah berkahwin itu didakwa telah dengan sengaja mengaibkan kesantunan seorang pekerja wanita dengan cara merakam video punggung dan bahagian badan mangsa menggunakan telefon bimbit.
Dia didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah premis kesihatan dan kecantikan di Jalan Changkat Jong, Teluk Intan di Daerah Hilir Perak, pada jam 6.30 petang, 12 Julai lalu.
Dia didakwa di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum penjara sehingga lima tahun, atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Inspektor Nurul Farahdiana Md Saad sementara tertuduh diwakili Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), S Kumaresan.
Majistret Naidatul Athirah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,500 dengan seorang penjamin.
Mahkamah menetapkan 30 Disember depan. sebagai tarikh sebutan semula kes untuk lantikan peguam dan serahan dokumen.
Berdasarkan laporan polis dibuat, kejadian itu berlaku semasa mangsa sedang menyusun barang di kedai tempat dia bekerja.
Pemeriksaan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati, tertuduh mendekati dan merakam video punggung mangsa. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Polis tahan guru penolong kanan, bantu siasatan kes pelajar dicabul