Rakaman CCTV dedah Petra hilang dibaham harimau akar

SUNGAI SIPUT – Seorang pemilik kucing tidak menyangka haiwan peliharaan kesayangan yang hilang selama dua hari dibaham seekor harimau akar dalam kejadian di Kampung Tersusun Salak di Salak Baru di sini, Isnin lalu.

Nurul Balqis Musa, 30, berkata dia menyedari kejadian itu selepas terdetik untuk memeriksa kembali rakaman kamera litar tertutup (CCTV) susulan kehilangan kucing betina diberi nama Petra itu.

“Jiran ada memaklumkan tiga kucing miliknya turut hilang dan menyebabkan kami terdetik untuk tengok balik CCTV, bimbang ia diambil orang.

“Ketika melihat rakaman CCTV itu, barulah saya teringat ketika kejadian, ibu ada terdengar bunyi seolah-olah jeritan Petra sekitar jam 3 pagi. Apabila buka pintu rumah, Petra sudah hilang,” katanya ketika dihubungi di sini, pada Khamis.

Terdahulu tular di media sosial rakaman video CCTV berdurasi 23 saat memaparkan seekor kucing yang digonggong seekor harimau sebelum ia hilang ke hutan.

Mengulas lanjut Nurul Balqis berkata mereka sekeluarga tidak menyangka Petra berusia empat tahun yang mempunyai berat sekitar lapan kilogram (kg) itu mampu ‘diangkut’ harimau akar ke atas pagar.

Harimau akar petra kucing CCTV rakaman dibaham Sungai Siput Salak Baru Nurul Balqis
Tangkap layar video kucing bernama Petra yang berada dalam kereta ketika Nurul Balqis Musa sedang memandu kereta. foto IHSAN PEMBACA

Jelasnya, walaupun mereka mempunyai lapan ekor kucing yang dipelihara, Petra disifatkan sebagai ‘si bulus’ yang istimewa.

“Sehingga kini, ibu tidak sanggup melihat rakaman CCTV itu kerana terlampau sedih. Kami pelihara sejak kecil dan Petra kucing yang manja, malah selalu tidur sekali.

“Malah, kalau saya memandu, Petra akan duduk di riba jadi peneman saya sepanjang perjalanan ke Ipoh atau Sungai Siput,” ujarnya lagi.

Tambah Nurul Balqis, ekoran kejadian kehadiran haiwan pemangsa itu, mereka sekeluarga dan penduduk setempat mengambil langkah lebih berjaga-jaga.

Menurutnya, ia termasuk tidak membiarkan lapan kucing yang lain di halaman rumah seperti kebiasaan.

“Video (tular) itu saya yang muat naik di laman Facebook saya sebagai peringatan kepada ibu bapa. Ia supaya mereka dapat menjaga keselamatan anak-anak dan tidak lagi membiarkan anak-anak bermain di kawasan anak sungai berhampiran,” katanya lagi.

Difahamkan harimau akar atau harimau dahan dewasa itu dipercayai datang dari Hutan Simpan Kledang Saiong yang terletak berhampiran dengan kawasan penduduk.

Pada masa sama, Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Perak, Yusoff Shariff ketika dihubungi mengesahkan ada menerima aduan berhubung kejadian itu.

“Kakitangan PERHILITAN sudah pergi ke lokasi kejadian untuk siasatan lanjut, dan kita bercadang untuk memasang perangkap di kawasan tersebut.

“Kita juga menasihatkan penduduk supaya mengurung semua binatang ternakan atau peliharaan lain, jika ada,” jelas beliau. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Pemandu bas tular memandu secara berbahaya dikenakan kompaun RM300

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI