Rakyat Malaysia perlu bersatu hadapi krisis global – Nga

IPOH – Rakyat Malaysia perlu bersatu padu dan menolak sebarang bentuk perpecahan kaum kerana perpaduan, keharmonian serta sikap saling menghormati adalah asas kekuatan negara terutamanya ketika berdepan dengan krisis global.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, dalam situasi dunia yang sedang bergolak ketika ini, setiap rakyat perlu memasang tekad baharu untuk berdiri sebagai satu negara dalam menangani krisis bersama.

Beliau turut menggesa rakyat supaya menyokong usaha kerajaan di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam mengurangkan beban rakyat serta bertindak secara bertanggungjawab, mengawal diri dan tidak menyebarkan sentimen negatif yang boleh menjejaskan perpaduan dan pembangunan ekonomi negara.

“Walaupun terdapat negara jiran yang telah mengisytiharkan darurat tenaga, Malaysia masih menikmati antara harga petrol terendah di dunia dan kerajaan sedang melaksanakan pelbagai inisiatif proaktif bagi menguruskan situasi ini.

“Kekuatan Malaysia terletak pada perpaduan dalam kepelbagaian yang perlu terus dipelihara daripada sebarang naratif tidak bertanggungjawab yang boleh menghakis kepercayaan serta persefahaman yang telah dibina sekian lama,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri DAP Perak bersama Media Perak, di sini malam tadi.

Dalam pada itu, Nga berkata, Perak berada pada landasan yang tepat di bawah Kerajaan Perpaduan apabila kerajaan negeri berjaya merekodkan lebihan belanjawan selama empat tahun berturut-turut.

Katanya, Perak juga mencatatkan pelaburan tertinggi sebanyak RM15.67 bilion selain sektor pelancongan yang menunjukkan prestasi memberangsangkan menerusi Tahun Melawat Perak 2025 (TMP2025) yang menerima lebih 10.1 juta pelancong tempatan dan antarabangsa.

Sehubungan itu, beliau menekankan bahawa setiap rakyat Malaysia mempunyai peranan penting dalam memelihara keharmonian serta melindungi kepelbagaian unik negara.

“Perpaduan adalah tanggungjawab bersama yang mesti dipertahankan oleh semua demi menjamin keamanan, kestabilan dan masa depan negara,” ujar Timbalan Pengerusi DAP Kebangsaan itu. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Konflik Asia Barat: Hentikan tuding-menuding, cari jalan penyelesaian bersama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI