IPOH – Rakyat bukan Islam di Perak memohon kerajaan negeri supaya mempertimbangkan peruntukan tambahan bagi tujuan Hal Ehwal Bukan Islam (HEBI).
Ketua Biro Kemajuan Kampung MCA Perak, Loh Ah Kwee, 50, berkata, terdapat banyak Kampung Baru Cina yang perlu dinaik taraf di sekitar negeri ini.
Menurutnya, peruntukan RM6 juta bagi HEBI kaum Cina dan Kampung Baru Cina tidak mencukupi memandangkan taraf ekonomi yang semakin meningkat.
“Peruntukan RM6 juta mungkin tidak cukup untuk pembangunan di setiap kampung baru yang ada di Perak.
“Sekarang bahan-bahan keperluan sudah mahal dan saya berharap Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad boleh tambah sikit peruntukan kepada kampung baru,” katanya ketika ditemui MG Perak.
Beliau turut mencadangkan supaya program satu kampung, satu produk diteruskan bagi membantu meningkatkan ekonomi penduduk di Kampung Baru Cina.
“Contohnya sekarang keadaan ekonomi tak berapa baik, jadi perlu bina satu perniagaan seperti produk macam panel solar di kampung baru.
“Di kampung baru ada banyak rumah yang didiami dua, tiga orang penduduk. Mungkin dengan cara itu pendapatan penduduk kampung akan bertambah.
“Jadi, kalau boleh pada Mesyuarat Exco boleh bincang dan pertimbang semula untuk tambah sikit peruntukan bagi kampung baru,” ujarnya.
Sementara itu, penulis, Teh Kuan Hong, 31, berpendapat peruntukan yang diumumkan pada Belanjawan Perak 2025 bagi Kampung Baru Cina kurang memuaskan.
“Sekarang kebanyakan penduduk yang menetap di Kampung Baru Cina rata-rata terdiri daripada warga emas dan hal ehwal kebajikan mereka dilihat kurang dipandang serius.
“Saya harap peruntukan ini akan digunakan sebaiknya bagi penduduk sama ada dalam bentuk sumbangan keperluan harian atau bantuan kewangan khas,” jelasnya yang juga penduduk Kampung Baru Pasir Pinji.
Pada Belanjawan Perak 2025 yang dibentangkan pada 29 November lalu, sebanyak RM12 juta disediakan untuk HEBI.
Sebanyak RM6 juta disediakan untuk HEBI Kaum Cina dan Kampung Baru Cina manakala RM6 juta lagi disediakan untuk HEBI Kaum India dan Kampung India serta lain-lain kaum. – MG Perak
Artikel Berkaitan: