Rakyat perlu bersatu hati, kembalikan semangat kekitaan

IPOHSejak kebelakangan ini, rakyat sering berhadapan dengan isu yang boleh menimbulkan salah faham dan menjejaskan perpaduan.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, setiap isu yang timbul tidak dibicarakan mengikut hikmah naratif keilmuan, sebaliknya ditanggapi dengan emosi dan prejudis mengikut naratif agama dan perkauman.

Menurutnya, perkara itu turut menimbulkan polemik dan perdebatan serta mencetuskan prasangka dan kesangsian.

“Satu demi satu naratif kebencian dibina supaya masyarakat mudah saling curiga mencurigai.

Rakyat perlu bersatu hati, kembalikan semangat kekitaan
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berucap pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Peringkat Negeri Perak 2025 di Stadium Indera Mulia, Ipoh. Foto ABDULLAH YUSOF, 31 MAC 2025.

“Lebih membimbangkan, suara-suara kebencian ini disambut oleh generasi muda yang tidak sempat merasai keindahan perpaduan sebenar, lalu tanpa segan silu menuturkan bahasa permusuhan.

“Bahasa kebencian dan permusuhan ini disebarluaskan melalui pelantar media sosial yang dijadikan sarang menanam bibit-bibit persengketaan, memacak duri-duri permusuhan, sehingga masyarakat berbilang kaum dibayangi dengan gumpalan fitnah dan kata-kata cacian yang mengguris perasaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri peringkat negeri di Stadium Indera Mulia di sini, hari ini.

Justeru, Saarani menyeru supaya rakyat bersatu hati untuk menyuburkan kembali semangat kekitaan.

“Setiap daripada kita rakyat Malaysia punya tanggungjawab untuk menyatukan dan mendamaikan.

Rakyat perlu bersatu hati, kembalikan semangat kekitaan
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad menyampaikan duit raya kepada kanak-kanak pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Peringkat Negeri Perak 2025 di Stadium Indera Mulia, Ipoh. Foto ABDULLAH YUSOF, 31 MAC 2025.

“Setiap daripada kita bertanggungjawab untuk menyalakan kembali semangat perpaduan, supaya ia tidak dibiarkan kelam ditelan api permusuhan.

“Mudah-mudahan, kita semua dapat menyemai muafakat, agar keindahan perpaduan yang semakin pudar dan sirna akibat bahana perpecahan, dapat kembali disegarkan, dapat kembali dibugarkan.

“Ini supaya kita dapat sama-sama membina negeri dan negara ini, dengan luhurnya semangat persefahaman dan hormat menghormati, yang menjadi asas kekuatan kita selama ini,” jelasnya. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Sultan Nazrin berangkat ke Sambutan Aidilfitri peringkat negeri

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI