Ramadan: Perak belum putuskan penjawat awam pulang awal

IPOH – Perak tidak membuat sebarang ketetapan setakat ini berhubung memendekkan waktu bekerja bagi penjawat awam negeri pada setiap Jumaat sepanjang Ramadan ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, waktu bekerja penjawat awam di Perak sebelum ini berjalan seperti biasa dan tiada gangguan bagi mereka menjalani ibadah puasa.

Katanya, bagaimanapun Kerajaan Perak bersedia untuk melihat semula perkara berkenaan termasuk mengkaji pelaksanaan itu daripada pelbagai sudut.

“Saya belum lagi bawa ke mesyuarat Exco (dalam hal ini) sebab setakat ini kita nampak ia ada keperluan (pelaksanaannya). Kita akan tengok daripada sudut kekurangan, kelebihan dan tujuan pelaksanaan (kerja separuh hari pada Jumaat).

“Bagaimanapun, umum mengetahui Ramadan adalah bulan untuk beribadah, dan bekerja juga adalah satu ibadah,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Bantuan Program Kad Perak Sejahtera (KPS) Daerah Kinta di Bangunan Perak Darul Ridzuan, dekat sini, pada Sabtu.

Hadir sama, Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak, Datuk Salbiah Mohamed.

Minggu lalu media melaporkan, waktu bekerja bagi penjawat awam di seluruh Negeri Pahang pada setiap hari Jumaat sepanjang Ramadan berakhir jam 12.30 tengah hari.

Keputusan itu bertujuan memberi peluang kepada penjawat awam beragama Islam untuk meluangkan lebih masa bersama keluarga serta memuliakan hari Jumaat dalam suasana Ramadan yang penuh keberkatan.

Pada Rabu, Negeri Sembilan dilaporkan membenarkan penjawat awam wanita yang bekerja di bawah pentadbiran kerajaan negeri pulang seawal jam 2 petang pada setiap Jumaat sepanjang Ramadan ini.

Pelaksanaan waktu kerja anjal itu bagaimanapun hanya membabitkan hampir 2,500 pekerja wanita, tidak termasuk yang berada di bawah Persekutuan. – MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

100 hidangan Syurga Rasa Ramadan

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI