Rampasan diesel penyumbang terbesar, rekod lebih RM5.5 juta tahun lalu

IPOH – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak merekodkan rampasan terbesar minyak diesel termasuk kenderaan dan peralatan lain berjumlah RM5,584,687.46 iaitu 90 peratus daripada jumlah keseluruhan nilai rampasan kes iaitu RM6,216,457.37 pada tahun 2023.

Pengarahnya, Datuk Kamalludin Ismail berkata, rampasan itu dilakukan melalui Ops Tiris 1.0 yang dilaksanakan mulai 1 Mac hingga 31 Ogos 2023.

Ia kemudian dilanjutkan oleh kerajaan sehingga 31 Disember tahun lalu menerusi Ops Tiris 2.0 yang ditambah baik dengan memperluas tindakan rintis risikan ketirisan subsidi lain seperti gas petroleum cecair (LPG), minyak masak, beras dan gula.

Menurutnya, sepanjang tahun 2023, KPDN Perak telah melaksanakan sebanyak 783 pemeriksaan membabitkan sebanyak 56 kes rampasan minyak diesel berjumlah 275,406 liter pada Ops Tiris 1.0 dan 2.0.

“Lazimnya, minyak diesel bersubsidi yang diperoleh sindiket akan dijual semula kepada pihak industry atau komersial dengan harga yang lebih tinggi. Jadi, secara tidak langsung mereka akan mendapat keuntungan atas angin.

“Makna mereka akan menggunakan subsidi kerajaan untuk buat perniagaan lain. Itu ketirisan yang berlaku dari segi minyak diesel dan tahun ini kita panjangkan kepada LPG, minyak masak, gula dan tepung.

“Apabila siasatan dan tindakan mahkamah selesai, kita akan menjalankan pelupusan terhadap barangan rampasan tersebut,” katanya.

Beliau ditemui pada sidang media Program Pelupusan Ekshibit Perdana di Stor Penyimpanan Ekshibit KPDN Perak di Kawasan Perindustrian IGB Chemor, di sini, pada Selasa.

Dalam perkembangan berkaitan, Kamalludin berkata, KPDN Perak akan melaksanakan Ops Tiris 3.0 dengan melaksanakan tindakan penguatkuasaan yang lebih menyeluruh dan besar-besaran bagi menangani ketirisan serta penyelewengan subsidi lanjutan pengumuman pihak kerajaan tentang pelaksanaan pensasaran semula subsidi barang kawalan.

“Bermula 1 Januari sehingga 12 Januari 2024, KPDN Perak telah mula melaksanakan tindakan penguatkuasaan yang lebih agresif dengan menghasilkan 34 kes pelbagai kesalahan antaranya yang melibatkan rampasan barang kawalan diesel, LPG di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dengan nilai rampasan berjumlah RM1,890,993.35,” jelasnya.

Rampasan diesel penyumbang terbesar, rekod lebih RM5.5 juta
Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamaluddin Ismail melupuskan barang rampasan pada Program Pelupusan Ekshibit Perdana di Stor Penyimpanan Ekshibit KPDN Perak di Kawasan Perindustrian IGB Chemor, di sini, pada Selasa.

Sementara itu, beliau berkata, pelupusan ekshibit yang dijalankan pada hari ini melibatkan barangan seperti pam minyak,hos, tangki IBC, kenderaan, makanan biskut, pelekat jenama, dan kasut sukan berjenama cap dagang yang dipakaikan dengan salah.

“Kesemua barangan ini adalah melibatkan rampasan kes yang dihasilkan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961, Akta Perihal Dagangan 2011 dan Akta Cap Dagang 2019 pada tahun 2023.

“Pada hari ini, jumlah nilai pelupusan barang kes adalah berjumlah RM594,817.80 manakala jumlah nilai pelupusan terkumpul sejak Januari sehingga 31 Disember 2023 adalah sebanyak RM1,509,181.35.

“Jumlah itu meningkat sebanyak 29.6 peratus berbanding tahun 2022 sebanyak RM1,164,324.35. “Selain itu, jumlah nilai rampasan tahun 2023 turut meningkat berbanding 2022 sebanyak 203 peratus termasuk nilai kompaun yang turut meningkat sebanyak 58 peratus berbanding tahun 2022,” ujarnya. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Diesel bersubsidi bernilai lebih RM1.7 juta dirampas

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI