KAMPAR – Program ‘Randuk For Lampam’ bukan sekadar hiburan tetapi platform memelihara sumber semula jadi serta menjadikan ikan lampam sebagai ikon ekosistem tempatan.
Orang Besar Jajahan Kampar, Azman Yeop Junior berkata, program yang dianjurkan sejak 2021 itu juga turut menyemai semangat tanggungjawab menjaga Sungai Kampar dalam kalanga peserta serta penduduk.
“Dalam konteks ‘Randuk For Lampam’ ia memberi makna tersendiri terhadap pemeliharaan kelestarian sungai dan menghargai spesies tempatan seperti ikan lampam yang menjadi ikon eko-sistem perairan kita.
“Saya amat berharap agar program ini dapat menjadi platform untuk mendidik masyarakat tentang kepentingan memelihara sumber semula jadi, mengamalkan konsep “Catch and Release”, serta menyemai semangat tanggungjawab menjaga kebersihan sungai,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Menurut beliau, ‘Randuk For Lampam’ yang kini memasuki edisi keempat berjaya menarik lebih 100 penyertaan melibatkan peserta tempatan dan antarabangsa daripada Singapura serta Amerika Syarikat.
Jelas beliau, ‘Program Randuk For Lampam 4.0’ turut mencatat sejarah di Daerah Kampar khususnya dalam sektor pelancongan apabila program ini secara tidak langsung membantu mempromosikan Sungai Kampar sebagai destinasi terunggul bagi sukan pancing layang di peringkat antarabangsa.
“Program ini telah berjaya dianjurkan oleh Pertubuhan Pemancing Layang Negeri Perak sejak tahun 2022 dengan penyertaan sebanyak 45 orang, diikuti penganjuran kali ke-2 pada 2023 dengan 60 penyertaan dan penganjuran kali ke-3 pada tahun lepas dengan peningkatan kepada 80 penyertaan.
“Sehingga kini, penyertaan ‘Randuk For Lampam 4.0’ telah mencecah 100 penyertaan termasuk peserta antarabangsa daripada Singapura, Amerika Syarikat dan peserta tempatan daripada seluruh Malaysia,” katanya.
Program ‘Randuk For Lampam 4.0’ merupakan berkolaborasi bersama Majlis Daerah Kampar melalui Unit Perhubungan Korporat dan Pelancongan sebagai persediaan menyemarakkan Sambutan Hari Perancangan Bandar Sedunia (HPBS) 2025 yang akan diadakan sambutan nya di Daerah Kampar pada November 2025 di samping persediaan Tahun Melawat Malaysia 2026. – MG Perak