TELUK INTAN – Satu rangka dan tengkorak manusia bersama ditemui di tingkat atas sebuah rumah kayu dua tingkat di Jalan Sungai Nibong di sini, dipercayai anak bongsu kepada bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Bedamar, Wah Keng Jooi.
Penemuan mengejutkan itu berlaku selepas abang mangsa yang berusia 78 tahun pergi ke rumah tersebut sekitar jam 11 pagi untuk melawat adiknya yang berusia 75 tahun itu sebelum terhidu bau busuk yang mencurigakan pada Sabtu lalu.
Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Dr Bakri Zainal Abidin berkata, abang mangsa membuat laporan polis pada jam 2.24 petang hari yang sama selepas dia tidak dapat naik ke tingkat atas akibat struktur tangga kayu rumah yang telah reput.
“Bertindak atas maklumat, sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak bersama bantuan pasukan bomba telah pergi ke lokasi kejadian dan menjalankan pemeriksaan.
“Siasatan awal menemui tengkorak dan rangka manusia bersama anjing peliharaannya serta beberapa barangan peribadi milik mangsa di tingkat atas rumah terbabit.
“Mangsa juga tinggal bersendirian di rumah pusaka peninggalan keluarganya itu,” katanya.
Katanya, mayat mangsa telah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Teluk Intan untuk proses bedah siasat.
“Setakat ini, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR). Bagaimanapun, bedah siasat masih belum dijalankan dan pihak polis sedang menunggu panggilan daripada pakar forensik dari Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh,” jelasnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Lelaki ditemui mati ada kaitan jenayah terancang, libatkan soal sempadan luar negara