TANJUNG MALIM – Polis menemukan rangka manusia di sebuah ladang kelapa sawit di Jalan Kuala Slim, dekat sini, pada Ahad.
Ketua Polis Daerah Muallim, Superintenden Mohd Hasni Mohd Nasir berkata, pihaknya menerima maklumat berkenaan penemuan itu daripada orang awam kira-kira jam 5.13 petang.
Katanya, penemuan rangka manusia itu disedari oleh orang awam yang dalam perjalanan ke kebun yang terletak berhampiran dengan ladang kelapa sawit berkenaan.
“Hasil siasatan di lokasi kejadian dengan bantuan Unit Anjing Pengesan (K9) Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya menemui hampir keseluruhan rangka manusia terbabit, kecuali kedua-dua belah tapak tangan.
“Rangka tersebut telah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun Ipoh untuk bedah siasat.
“Kes diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut sehingga keputusan bedah siasat diperolehi,” katanya dalam satu kenyataan pada malam tadi.
Menurut Mohd Hasni, orang ramai yang kehilangan ahli keluarga atau kenalan diminta tampil memberi kerjasama bagi membantu siasatan polis.
Tambah beliau, mana-mana individu yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Raja Nabila Raja Abdul Samad di talian 012-285 4320 atau Ibu Pejabat Polis Daerah Muallim di talian 05-452 8222.
“Kerjasama orang ramai amat dihargai dalam membantu proses siasatan dan mengenal pasti identiti mangsa,” katanya lagi. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Kes kematian Nuraina Humaira: Remaja lelaki Orang Asli direman tujuh hari