Ranking pasport Malaysia turun tangga ke-12 paling berkuasa di dunia

KUALA LUMPUR- Pasport Antarabangsa Malaysia jatuh satu anak tangga ke tempat ke-12 dalam indeks pasport global berbanding tangga ke-11 tahun lalu.

Menurut laporan Indeks Pasport Henley 2024, berdasarkan ranking tahun ini, pemegang pasport Malaysia dibenarkan mengembara tanpa visa ke 182 daripada 227 destinasi di seluruh dunia.

Indeks itu juga meletakkan Malaysia dalam kedudukan ke-12 bersama Cyprus dan Liechtenstein.

Untuk rekod, Pasport Malaysia pernah menduduki tangga kelapan paling berkuasa di dunia pada 2014.

Indeks Pasport Henley adalah berdasarkan data daripada Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) dan cerminan kepada trend pengembaraan tanpa visa global.

Dalam pada itu, Singapura terus mengekalkan kedudukan teratas, menjadikannya pasport paling berkuasa di dunia dengan membolehkan rakyat republik tersebut mengembara ke 195 negara tanpa visa.

Jepun pula menduduki tangga kedua berkongsi kedudukan dengan Perancis, Jerman, Itali dan Sepanyol yang mana rakyat mereka boleh mengembara tanpa visa ke 192 negara.

Tangga ketiga diduduki Austria, Finland, Ireland, Luxemborg, Belanda, Korea Selatan dan Sweden (191 negara).

Negara-negara Asean seperti Brunei menduduki tangga ke-19, Thailand (60), Indonesia (65), Filipina (73), Kemboja (86), Vietnam (88), Laos (90) dan Myanmar (92). -MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI