IPOH – Empat dekad mengabdikan diri dalam dunia teater bukanlah tempoh yang singkat, namun bagi Rashidi Abdul Kharis, 62, perjuangan itu menjadi bukti bahawa seni pentas mampu membentuk sahsiah dan mencorak masyarakat.
Konsisten mengangkat martabat seni teater di Perak serta dedikasi tanpa jemu akhirnya membawa beliau ke pentas tertinggi apabila dinobatkan sebagai penerima Anugerah Tokoh Sepanjang Zaman sempena Anugerah Seni Negeri (ASN) Perak 2025.
Perjalanan seni Rashidi bermula pada tahun 1984 dengan pelbagai kemenangan dalam kategori berbeza, namun beliau menyifatkan anugerah kali ini paling bermakna dalam kariernya.
Bapa kepada dua anak lelaki yang pernah berkhidmat dalam jabatan kerajaan itu terus berusaha memartabatkan seni dengan menubuhkan Akademi Teater Perak pada tahun 2010 yang membuka ruang kepada kanak-kanak dan dewasa, untuk mendalami teater.
“Alhamdulillah kepada Allah SWT kerana memberikan anugerah ini kepada saya sekali gus memberi pengiktirafan kepada penggiat-penggiat seni teater serta mengangkat cabang seni teater ke arah yang lebih tinggi baik di tinggi di Perak,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri majlis Anugerah Seni Negeri (ASN) Perak 2025 di Hotel Travelodge, malam tadi.
Rashidi menerima anugerah tersebut daripada Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad serta membawa pulang RM5,000; plak; cek cura dan sijil penghargaan.
Mengulas perkembangan teater, beliau melihat ia sangat berbeza. Jika dulu ia sekadar hiburan tetapi kini lebih menjurus kepada pembentukan sahsiah diri dan remaja.
“Kanak-kanak pun telah mula mengikuti teater dan teater dapat dibentuk, dilahirkan dalam berbagai kategori monolog, monodrama bahkan sekarang ini saya cuba mengangkat satu lagi medium baru iaitu ucap dialog.
“Kalau dilihat bagaimana orang baca deklamasi sajak, saya juga mengangkat ucap dialog sebagai salah satu dari medium seiras dengan deklamasi sajak itu adalah ruang untuk mengangkat martabat teater di negeri ini,” ujarnya.
Penasihat Persatuan Deklamasi Lakon Perak itu berkata, teknologi juga mampu memperkukuh promosi serta pementasan teater supaya terus dekat dengan masyarakat.
“Menerusi teknologi, penggalakan teater ke arah itu sangat-sangat diperlukan kerana pada masa ini teater tidak memerlukan ruang yang besar, boleh dibuat di mana-mana lokasi.
“Dulu semasa hari kedua PKP (perintah kawalan pergerakan), saya rasa, saya orang yang pertama yang telah mengadakan pertandingan teater dalam talian bersama dengan kanak-kanak.
“Alhamdulillah, ramai masyarakat, aktivis-aktivis mula mengikuti teater di dalam talian,” ujar anak jati Kampung Gajah itu.
Bagi Rashidi, antara kenangan paling berharga ialah ketika dinobatkan sebagai Pengarah Terbaik pada tahun 1994 serta menerima penghormatan daripada Tokoh Teater Negeri Perak pada ketika itu, Allahyarham Onie Moraza.
Dalam perkembangan sama, beliau optimis dengan masa depan teater yang kini semakin diterima dalam sistem pendidikan negara.
“Dulu mereka anggap teater sebagai hiburan kosong, buang masa tetapi mereka dapat melihat potensi teater itu untuk membentuk anak-anak bangsa menjadi lebih berani, lebih kritikal untuk berfikir lebih kreatif,” katanya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
MG Perak raih Anugerah Pendukung Seni Media ASN Perak 2025