PENDIDIKAN adalah satu elemen penting dalam usaha membebaskan diri daripada kepompong kemiskinan dan keterpinggiran, terutamanya bagi masyarakat Orang Asli.
Melalui pendidikan, seseorang individu dapat meningkatkan taraf hidup, memperoleh pekerjaan yang lebih baik, dan memainkan peranan yang lebih besar dalam pembangunan masyarakat.
Pengetua Orang Asli pertama di Malaysia, Rasila Yas berkata, bagi komuniti Orang Asli, pendidikan adalah jalan utama untuk keluar daripada kitaran kemiskinan dan membuka peluang ke arah masa depan yang lebih cerah.
Menurutnya, lebih bermakna lagi apabila mereka yang berjaya dalam bidang pendidikan kembali berbakti sebagai pendidik untuk membantu membangunkan masyarakat mereka sendiri.
Perjalanan menjadi pendidik
Anak keempat daripada tujuh adik beradik ini adalah Orang Asli berketurunan Temuan yang dilahirkan di Baling, Kedah dan membesar di Pengkalan Hulu kerana bapanya adalah anggota Pasukan Polis Hutan Senoi Praaq yang bertugas di sana.
Dibesarkan dalam suasana kampung, aktiviti waktu kecil Rasila adalah memancing dan mencari sayur-sayuran di hutan berhampiran untuk menampung kehidupan harian mereka sekeluarga.
“Saya mengikuti sesi persekolahan dari peringkat sekolah rendah sehingga tingkatan 6 di Baling, kemudian melanjutkan pengajian di Universiti Sains Malaysia (USM) pada tahun 1991 sehingga 1995 mengambil kursus Ijazah Sarjana Muda Sastera (Kepujian) dalam bidang Ilmu Kemanusiaan.
“Bagaimanapun, apabila salah seorang pensyarah mengetahui saya adalah Orang Asli dia memaklumkan bahawa saya boleh melanjutkan pengajian dalam bidang Pendidikan.
“Sejurus tamat ijazah di USM, saya menyambung pengajian dalam Diploma Pendidikan Lepasan Ijazah (DPLI),” katanya ketika ditemui Malaysia Gazette (MG) Perak baru-baru ini.
Perjalanannya sebagai pendidik bermula pada tahun 1996 apabila diterima mengajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pengkalan Hulu sebelum berpindah ke SMK Petra Jaya Kuching, Sarawak pada tahun 1997 sehingga tahun 2007 kerana mengikuti suami.
Kemudian, beliau kembali semula ke Perak dan bertugas di Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Ave Maria Convent, Ipoh dari tahun 2007 sehingga tahun 2023 dan jawatan terakhirnya di sekolah itu adalah sebagai Penolong Kanan Pentadbiran.
“Saya memang berhasrat untuk mengajar di sekolah yang ada pelajar Orang Asli kerana hendak memberi sumbangan kepada mereka kerana saya sudah merasai bagaimana melalui pendidikan ia dapat mengubah cara hidup kami sekeluarga.
“Pendidikan telah mengubah gaya hidup saya serta membantu kami sekeluarga keluar daripada kepompong kemiskinan,” ujarnya yang dilantik menjadi Pengetua Orang Asli Pertama di Malaysia pada tahun 2023.
Giat beri motivasi, aktif bersama YOAP
Ibu kepada lima orang putera ini sangat aktif dalam aktiviti anjuran Yayasan Orang Asli Perak (YOAP) sejak 2008 dan dilantik menjadi Ahli Jawatan Kuasa (AJK) Biro Pendidikan dalam yayasan tersebut.
“Oleh kerana saya merasakan saya tidak mempunyai wang untuk disumbangkan, apa yang mampu saya sumbangkan ialah perkongsian ilmu dan pengalaman. Apa yang saya peroleh, saya ingin kongsi bersama masyarakat Orang Asli yang lain.
“Sebenarnya, sejak tahun 2008 lagi saya telah mula melibatkan bersama YOAP dan melalui Biro Pendidikan yayasan tersebut, kami menerima jemputan daripada pihak sekolah atau kami sendiri yang menganjurkan program di sekolah-sekolah.
“Dari situ, Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) yang mengenali saya turut menjemput saya untuk ke kampung-kampung Orang Asli untuk menyampaikan motivasi.
“Kehidupan saya dan suami sememangnya tertumpu kepada kerja-kerja sebegini, jiwa kami berada di situ. Malah, kadang-kadang saya turut menerima jemputan hingga ke Kelantan, namun ada juga jemputan yang saya tidak mampu penuhi.
“Dari situ, bermulalah penglibatan saya dengan sekolah-sekolah, khususnya di sekitar Perak, Cameron Highlands, dan juga Pos Betau di Pahang.
“Melalui aktiviti tersebut saya berasa sangat puas hati dan sepanjang program tersebut saya lebih suka berbicara dengan ibu bapa mengenai kepentingan pendidikan anak-anak mereka,” jelasnya yang kini berkhidmat sebagai Pengetua SMK Menglembu.
Terima pelbagai anugerah sejak 2002
Pembabitannya bersama masyarakat Orang Asli turut mendapat perhatian pelbagai pihak apabila terpilih untuk menerima beberapa pengiktirafan.
“Sepanjang bergelar pendidik, saya telah menerima pelbagai anugerah, antaranya Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) sebanyak tiga kali iaitu pada tahun 2002, 2012 dan 2021.
“Pada tahun 2021, saya mendapat johan bagi Anugerah Guru Cemerlang kategori Orang Asli/Pribumi Peringkat Negeri Perak manakala adik saya, Ramona Yas menduduki tempat kedua kategori yang sama.
“Terbaharu, saya menerima Anugerah Utama Sijil Penghormatan Guru Negeri Perak Sambutan Hari Guru Peringkat Negeri Perak dan Anugerah Ikon Orang Asli pada Simposium Komuniti Orang Asli Perak 2025 baru-baru ini,” katanya.
Beliau turut menitip nasihat kepada anak-anak Orang Asli yang ingin berjaya supaya terus mengutamakan pendidikan bagi memastikan kehidupan mereka akan lebih terjamin pada masa hadapan.
“Pendidikan dan ilmu akan kita bawa sampai mati. Harta tak akan ikut kita. Apa pencapaian kita dalam pendidikan atas nama kita dan orang lain tak boleh ambil. Walaupun orang ambil, orang tidak boleh gunakan. Itu pencapaian kita,” ujarnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Pengetua Orang Asli Pertama Malaysia, terima Anugerah Ikon Orang Asli