KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengenal pasti dua lagi syarikat yang disyaki memperoleh projek pembinaan pusat data dengan memberi rasuah kepada pengurus projek syarikat pembinaan terkemuka yang ditahan baru-baru ini.
Menurut sumber, beberapa pengarah syarikat juga dikenal pasti dan akan dipanggil untuk membantu siasatan kes berkenaan.
“Siasatan juga mendapati suspek utama iaitu pengurus projek mengaku telah meminta kira-kira tiga peratus daripada nilai projek kepada mana-mana syarikat yang ingin mendapatkan projek daripada syarikat pembinaan terkemuka itu,” katanya di sini hari ini.
Sumber memaklumkan sogokan itu dilakukan dengan membocorkan harga tender serta membantu memastikan syarikat yang membayar rasuah diberi keutamaan untuk memenangi tender terbabit.
“Wang rasuah ini dibayar secara berperingkat mengikut tahap kemajuan pembayaran projek dan difahamkan terdapat beberapa juta lagi yang masih belum dibayar oleh syarikat kepada suspek sepertimana perjanjian mereka,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan pengurus projek syarikat pembinaan terkemuka yang ditahan untuk siasatan kes rasuah melibatkan perolehan tender projek pembinaan pusat data sanggup membakar wang tunai hampir RM1 juta bagi menghapuskan bukti selepas terkejut dengan serbuan SPRM melalui Op Ways pada Khamis lepas.
Hasil pemeriksaan menyeluruh SPRM di kediaman itu turut menemukan wang tunai berjumlah kira-kira RM7.5 juta yang disimpan di dalam beberapa kotak bantal, tiga utas jam tangan jenama Rolex, Omega dan Cartier selain barang kemas seperti cincin serta syiling emas.
Pada Jumaat lepas, media melaporkan pengurus kontrak bersama isterinya serta dua lelaki berjawatan pengarah syarikat berusia 40-an hingga 60-an ditahan Bahagian Siasatan SPRM di sekitar Lembah Klang selepas dipercayai terbabit rasuah melibatkan perolehan tender projek pembinaan pusat data di Johor bernilai kira-kira RM180 juta.
— BERNAMA