Rasuah, salah guna kuasa khianat prinsip syariah

IPOH – Golongan penjawat awam disaran untuk menjadikan nilai integriti sebagai pakaian harian, amanah sebagai nafas pekerjaan, dan kejujuran sebagai kompas tindakan.

Timbalan Mufti Perak, Datuk Zamri Hashim berkata, gejala rasuah dan salah guna kuasa bukan sekadar pelanggaran peraturan, bahkan ia disifatkan sebagai pengkhianatan terhadap prinsip syariah.

“Sebagai penjawat awam dan pendukung amanah agama, kita tidak boleh alpa bahawa setiap tindakan adalah jejak yang meninggalkan kesan.

“Apa yang kita sembunyikan daripada pandangan manusia, tidak pernah terlindung daripada pengetahuan Allah SWT.

“Andai kita membetulkan niat dan memperkemaskan sistem, InsyaALLAH hasilnya akan terpancar pada budaya kerja dan kepercayaan masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Pelan Antirasuah Organisasi (OACP) dan Ikrar Bebas Rasuah (IBR) Jabatan Mufti Negeri Perak di Pejabat SPRM Perak, dekat sini, pada Isnin.

Hadir sama, Pengarah SPRM Negeri Perak, Datuk Ahmad Sabri Mohamed.

Menurut Zamri, menurut pandangan dalam Islam, amanah bukan hanya sekadar kontak duniawi, tetapi ia adalah janji rohani yang akan ditimbang di akhirat.

“Sesungguhnya, integriti dan amanah adalah sendi utama kepada bangunan pentadbiran yang kukuh.

“Jika amanah itu retak, maka runtuhlah binaannya, jika integriti itu goyah, maka pincanglah perjalanan,” katanya lagi.

Mengulas lanjut kata beliau, pelaksanaan OACP bagi tahun 2026 hingga 2030 adalah suatu ikhtiar pencegahan yang mendahului musibah di samping bertepatan dengan aspirasi Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) 2024-2028.

Tambah beliau, ia adalah kesinambungan daripada fasa pertama yang membabitkan 79 inisiatif sebelum kini ke fasa kedua yang tertumpu kepada 25 inisiatif.

“Pelan ini tidak dibangunkan secara bersendirian. OACP Jabatan Mufti Negeri Perak dirangka bersama Institut Integriti Malaysia (IIM) melalui tiga siri bengkel strategik, yang menjadi medan muafakat, pertukaran fikiran dan penilaian berwibawa.

“Proses ini ibarat menenun kain songket, setiap helai benang disulam dengan teliti agar terhasil corak yang kukuh, seimbang dan bernilai,” katanya lagi. – MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

Agong kecewa skandal rasuah libatkan pegawai tinggi ATM

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI