IPOH – Kemajuan dalam dunia perubatan moden telah membuka jalan kepada pelbagai kaedah rawatan yang membantu pasangan dalam usaha mendapatkan zuriat dan salah satu kaedah terbukti berkesan ialah melalui rawatan persenyawaan in-vitro (IVF).
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, kaedah tersebut mampu meningkatkan kadar kejayaan sehingga 40 ke 50 peratus bergantung kepada keadaan kesihatan dan faktor individu pasangan yang menerima rawatan.
Menurutnya, pasangan yang berumur antara 25 hingga 45 tahun dengan rawatan yang tepat serta bimbingan pakar, kadar keberkesanan IVF boleh mencapai antara 75 hingga 90 peratus.
Tambahnya, menerusi inisiatif ini, lebih ramai pasangan yang telah lama menantikan kehadiran cahaya mata akan dikurniakan rezeki yang diimpikan namun dalam skala lebih luas, isu kesuburan bukan sekadar cabaran peribadi bagi pasangan tetapi juga satu realiti yang memberi kesan kepada struktur sosial dan ekonomi negara.
“Bagaimanapun, trend penurunan kadar kesuburan yang berterusan akan membawa implikasi yang besar terhadap pembangunan negara dan boleh menjejaskan pertumbuhan populasi.
“Ini secara tidak langsung turut memberi kesan kepada keseimbangan tenaga kerja, daya saing ekonomi dan kestabilan sistem sokongan sosial dalam jangka panjang.
“Jika trend ini berterusan tanpa sebarang langkah intervensi yang berkesan, Malaysia bakal berdepan dengan penyusutan populasi serta peningkatan kadar penuaan yang ketara.
“Keadaan ini akan memberi impak kepada pelbagai sektor, terutamanya dalam aspek keperluan tenaga kerja dan pertumbuhan ekonomi negara, di mana kebergantungan kepada tenaga kerja asing mungkin semakin meningkat.
“Antara faktor yang menyumbang kepada penurunan kadar kesuburan ini termasuklah peningkatan kos sara hidup dan kelewatan dalam perkahwinan.
“Faktor lain, termasuklah perubahan keutamaan golongan muda, khususnya wanita moden yang semakin mengutamakan pendidikan, kestabilan kewangan dan perkembangan kerjaya sebelum membuat keputusan untuk berkeluarga.,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Pusat Pakar Rawatan Kesuburan Metro Pensenyawaan In-Vitro (IVF) dan Pelancaran Program Kumpulan Sokongan Impian Dua Garis Perak, di sini hari ini.
Hadir sama, Exco Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional Perak, A Sivanesan dan Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin.
Saarani berkata, sebagai langkah proaktif bagi membantu mengatasi masalah tersebut, kerajaan negeri menyokong sepenuhnya inisiatif Metro IVF Ipoh yang membantu pasangan mendapatkan rawatan kesuburan serta turut menyumbang kepada keseimbangan demografi negara.
Katanya, pusat ini menyediakan satu lagi pilihan bagi mereka yang ingin mendapatkan rawatan dengan lebih mudah diakses dan mampu milik, sejajar dengan usaha untuk memperkukuh institusi kekeluargaan serta memperlahankan kadar penurunan populasi.
“InshaALLAH, dengan perancangan yang rapi dan sokongan daripada pelbagai pihak, kita dapat memastikan lebih ramai pasangan memperoleh peluang untuk menimang cahaya mata,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau berharap usaha tersebut menjadi pemangkin kepada lebih banyak program yang memberi manfaat kepada rakyat Perak, seiring dengan matlamat yang digariskan dalam pelan Perak Sejahtera 2030. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Hasrat Perak sebagai hab pelancongan kesihatan di landasan tepat