IPOH – Ketua Pembangkang Perak, Razman Zakaria tidak dibenarkan menghadiri Mesyuarat Kedua, Tahun Ketiga, Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak ke-15 yang akan berlangsung dari 9 hingga 11 September ini kerana tempoh penggantungan enam bulannya masih belum tamat.
Speaker DUN Perak, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid berkata, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gunung Semanggol itu hanya dibenarkan kembali menghadiri persidangan pada sesi berikutnya yang dijadualkan November depan.
Menurutnya, penggantungan itu bagaimanapun hanya merangkumi aktiviti berkaitan DUN seperti urusan jawatankuasa terpilih namun Razman masih kekal sebagai wakil rakyat bagi kawasannya.
“Beliau (Razman) masih tidak boleh hadir kerana tempoh penggantungan enam bulannya masih belum matang dan hanya boleh kembali pada persidangan akan datang yang dijadualkan pada November,” katanya pada sidang media di Bangunan Perak Darul Ridzuan pada Khamis.
Hadir sama, Timbalan Speaker DUN Perak, Jenny Choy Tsi Jen.
Razman digantung pada 16 April lalu selepas ADUN Bercham, Ong Boon Piow membentangkan usul yang menuduhnya membuat kenyataan berbaur perkauman dan hasutan serta telah menimbulkan perasaan sakit hati di bawah Peraturan 40 (11)(b) dan (c) Perintah-Perintah Tetap.
Pesuruhjaya PAS Perak itu telah dirujuk ke jawatankuasa berkenaan berhubung kenyataannya pada persidangan 2 Disember tahun lalu, selepas beliau mendakwa warganegara Malaysia telah mengibarkan bendera negara China pada satu acara di Teluk Intan.
Dalam perkembangan berasingan, Mohammad Zahir berkata, satu usul juga akan dibentangkan pada persidangan kali ini untuk melantik ADUN Ayer Kuning, Dr Mohamad Yusri Bakir sebagai ahli Jawatankuasa Kebajikan ADUN.
Katanya, ADUN terbabit telah mengangkat sumpah di hadapannya pada 31 Julai, dengan kehadiran Timbalan Speaker dan Setiausaha DUN.
Tambahnya, dua Rang Undang-Undang (RUU) juga akan dibentangkan iaitu Enakmen Kawalan Sekolah Agama Islam (Perak) 2025 dan Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Perak) (Pindaan) 2025 yang akan dibentangkan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohammad. – MG Perak
Artikel Berkaitan: