TERKENAL dengan Menara Condong, Teluk Intan merupakan antara destinasi pelancongan popular di Perak yang bukan hanya menggamit kehadiran pelancong tempatan malah juga antarabangsa.
Namun siapa sangka bandar ketiga terbesar di Perak yang kaya dengan sejarah serta keindahan seni bina ini turut mempunyai tarikan ekopelancongan menyelurusi Sungai Perak.
Para pelancong bukan sahaja berpeluang melihat tarikan serta tinggalan sejarah di sepanjang Sungai Perak malah menyaksikan keindahan matahari terbenam dengan puluhan ribu burung bangau terbang pulang ke sarang mereka.
Menjadi tarikan utama pulau seluas 14.35 hektar ini dihuni lebih kurang 13 spesis burung bangau iaitu Great Egret, Cattle Egret, Chinese Egret, Little Egret, Black Crowned Night, Grey Heron, Yellow Bittern, Striated Heron, White Breasted Waterhed, Asian Open Bill Heron, Purple Heron, Little Cormorant dan Lesser Adjutant.
Selain itu pengunjung juga berpeluang melihat serombong kapal stim tenggelam, kilang kapal kayu nelayan laut, ternakan sangkar ikan, tokong besar Buddha dan feri Pulau Rawa.
Bagi merasai keunikan berkenaan para pelancong perlu menaiki bot yang disediakan oleh pengusaha pelancongan dan antara yang popular adalah River Cruise Teluk Intan (RCTI).
Pengurusnya, Muhammad Shahril Mustafa berkata, RCTI menawarkan pengalaman terbaik kepada pelancong yang berhasrat menyelusuri Sungai Perak serta melihat sendiri Pulau Bangau yang terletak di tengah-tengah Sungai Perak.
Menurut beliau, bermula dengan hanya sebuah bot pada 2018 kini RCTI memiliki enam buah bot bagi membawa pelancong menyelusuri Sungai Perak dengan tempoh 45 hingga 90 minit mengikut pakej yang dipilih.
“Bermula seawal jam 9.30 pagi RCTI menyediakan pelbagai pakej menyelusuri Sungai Perak di mana waktu perjalanan sekitar 45 hingga 90 minit mengikut pakej yang dipilih.
“Kebiasaannya para pengunjung akan memilih pakej ‘Hot Trip’ kami iaitu pada jam 6 petang bagi menyaksikan suasana matahari terbenam dan ribuan burung pulang ke sarang di Pulau Bangau,” katanya.
Tambah beliau, pengunjung yang dibawa menyelusuri Sungai Perak berpeluang melihat tapak pelabuhan lama di Teluk Intan, restoran terapung, jeti nelayan, bangunan sejarah seperti mahkamah lama dan bot penambang.
“Selain itu mereka juga dapat melihat kapal sedut pasir, singgah di kelong milik RCTI dan berpeluang memberi ikan makan dan akhir sekali melihat ke Pulau Bangau,” katanya.
Muhammad Shahril berkata, jumlah pengunjung yang menggunakan khidmat RCTI boleh mencecah sehingga 500 orang sehari terutamanya ketika cuti sekolah dan cuti umum.
Jelasnya, rata-rata pengunjung yang hadir memaklumkan mereka melihat maklum balas positif pelancong yang pernah menyelusuri Sungai Perak Bersama RCTI di laman sosial.
“Sudah menjadi lumrah zaman sekarang bila mahu ke sesuatu lokasi kita akan melihat ulasan pelanggan yang pernah datang dan Alhamdulillah apa yang kami terima adalah yang positif.
“Dari segi jumlah pengunjung pula bergantung kepada musim di mana kebiasaanya kalau waktu cuti sekolah dan umum kami boleh dapat 300 hingga 500 pelanggan sehari.
“Kalau hari biasa selalunya kami menerima 50 pelanggan sehari dan itulah asam garam dalam perniagaan,” katanya.
Bekas guru ini juga berkata, dia tidak pernah menyangka perkhidmatan menyelusuri Sungai Perak yang sudah hampir tujuh tahun diusahakannya itu menjadi tarikan kepada aktiviti pelancongan di Teluk Intan.
“Bermula dengan sebuah bot kini kami ada enam buah bot dan dari satu aktiviti kini RCTI turut menawarkan aktiviti memancing di kelong, lawatan sambil belajar, kelas memandu bot dan lain-lain lagi,” katanya. -MG Perak
Artikel Berkaitan:
Pulau Bangau Syurga Pencinta Alam Dan ‘Sunset’