IPOH – Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) tampil menawarkan perkhidmatan gunting rambut secara percuma kepada pengunjung yang hadir pada Program MADANI Rakyat (PMR) 2026 Perak di Bulatan Sultan Azlan Shah, di sini.
Inisiatif tersebut bukan sahaja memberi manfaat kepada orang ramai, malah menjadi platform untuk memperkenalkan RELA kepada masyarakat, selain pendaftaran ahli baharu turut dibuka melalui sistem MyRELA di reruai jabatan berkenaan.
Penolong Pegawai Rela Daerah Selama, Azuan Hafiezi Mohamad Nor berkata, sebelum ini perkhidmatan percuma itu telah dilaksanakan di Tapah dan Manjung.

“Pada hari ini kita ada buat program gunting rambut percuma di bawah inisiatif RELA. Ini juga antara salah satu cara untuk menarik orang ramai mengenali RELA dengan lebih dekat.
“Seramai lapan orang terlibat termasuk tukang gunting wanita menawarkan perkhidmatan gunting rambut percuma ini yang diadakan sepanjang tiga hari program berlangsung sehingga esok.
“Kita menerima sambutan sangat menggalakkan di sini dan untuk semalam sahaja kita telah gunting (rambut) 43 orang pengunjung termasuk kanak-kanak,” katanya ketika ditemui pada Sabtu.

Beliau berkata, anggota RELA yang menjalankan khidmat ini mempunyai kemahiran sendiri serta minat dalam bidang tersebut.
“Untuk yang gunting rambut ini, kebanyakannya mempunyai kemahiran sendiri. Kita memang ada minat untuk potong rambut,kita belajar.
“Bila RELA buat macam ini, kita terpanggil untuk bantu untuk menawarkan khidmat gunting rambut secara percuma,” ujarnya.

Katanya, maklum balas daripada orang ramai juga amat memberangsangkan, terutama kerana perkhidmatan tersebut disediakan secara percuma dengan hasil yang memuaskan.
“Kebanyakannya berpuas hati sebab benda ini percuma dan mereka yang datang faham. Mereka tak minta fesyen yang pelik-pelik, cuma potongan yang biasa saja. Alhamdulillah, maklum balas daripada pelanggan baik,” ujarnya.
Azuan Hafiezi menjelaskan, setiap guntingan mengambil masa kira-kira 15 minit bergantung kepada jumlah pengunjung, namun aspek kualiti tetap diberi keutamaan.
Tambahnya, sepanjang tiga hari program berlangsung, mereka menyasarkan kira-kira 300 orang menerima manfaat daripada perkhidmatan gunting rambut percuma tersebut. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Kerajaan pantau BDR penjawat awam, pastikan integriti terpelihara


