Remaja lelaki, kanak-kanak perempuan maut akibat keracunan makanan

KUALA LUMPUR – Polis mengesahkan menerima dua laporan kes kematian melibatkan seorang remaja lelaki berusaha 17 tahun dan seorang kanak-kanak perempuan berumur dua tahun, disyaki akibat keracunan makanan yang diambil daripada sebuah sekolah agama di Gombak.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata, remaja itu telah menjamah makanan yang dibawa balik ibunya selepas menghadiri program keagamaan di sekolah berkenaan Sabtu lepas.

Beliau berkata, selepas memakan makanan tersebut, mangsa serta ibu bapanya telah mengalami cirit-birit dan pada 1.30 tengah hari semalam mangsa tidak sedarkan diri.

“Bapa mangsa telah menghubungi pihak MERS 999 untuk mendapatkan bantuan. Mangsa telah disahkan meninggal dunia oleh penolong pegawai perubatan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Noor Ariffin berkata, mangsa kedua pula memakan makanan yang dibawa oleh bapanya yang bertugas sebagai pengawal keselamatan di sekolah tersebut pada Sabtu dan didapati demam, muntah-muntah serta cirit-birit sekitar 10.45 pagi semalam.

“Ibu mangsa telah membawa mangsa ke Hospital Selayang. Mangsa disahkan meninggal dunia semasa mendapatkan rawatan,” katanya.

Beliau berkata, mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Selayang bagi tindakan lanjut dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Menurut Noor Ariffin, makanan dalam kedua-dua kes dikenal pasti sebagai bihun goreng dan telur.

Mana-mana individu yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Ketua Balai Polis Gombak Insp Heirme Che Mat di talian 014-2389151 atau Pegawai Penyiasat Insp R. Khalpna (012-5018901) atau bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak (03-61262222). -BERNAMA

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI