LARUT – Keriangan bermandi-manda bersama rakan bertukar tragedi apabila seorang remaja lelaki ditemukan lemas di Kawasan Rekreasi Air Terjun Lata Tebing Tinggi, di Jalan Menteri, Selama, dekat sini, pada Sabtu.
Mangsa dikenali sebagai S. Muguthan berumur 17 tahun.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima maklumat berkenaan kejadian itu pada jam 4.53 petang.
Katanya, sejurus selepas itu lima anggota berserta pegawai bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Selama diatur gerak ke lokasi kejadian bagi operasi menyelamat.
“Remaja lelaki itu telah dibawa naik oleh orang awam sebelum pasukan bomba tiba di lokasi kejadian.
“Pasukan bomba telah memberikan bantuan resusitasi kardiopulmonari (CPR) kepada mangsa, namun tiada respons,” katanya dalam satu kenyataan, pada Sabtu.
Menurut Sabarodzi, pasukan perubatan kemudian mengesahkan mangsa telah meninggal dunia dan menyerahkannya kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Operasi yang diketuai Penolong Penguasa Bomba (PPgB), Syed Mohammad Firdaus Syed AL-Hadi itu tamat pada jam 5.50 petang. – MG Perak
Artikel Berkaitan: