TAPAH – Aliran trafik kembali lancar selepas kerja-kerja pembersihan kesan tumpahan minyak sawit mentah di kilometer (km) 348.2 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah selatan dekat sini, pada Rabu, selesai.
Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Mohd Naim Asnawi berkata, insiden yang berlaku sekitar jam 12.19 tengah hari itu dipercayai berpunca daripada sebuah lori tanpa muatan merempuh belakang lori tangki muatan minyak sawit mentah.
Katanya, ketika kejadian kedua-dua kenderaan tersebut berada di lorong kiri lebuh raya serta sedang dalam perjalanan dari Ipoh menuju ke Klang, Selangor.
“Ketika di tempat kejadian, lori tangki yang dipandu lelaki berusia 30 tahun dirempuh dari arah belakang oleh sebuah lori tanpa muatan yang dipandu lelaki berusia 47 tahun.
“Dalam kemalangan jalan raya itu, kedua-dua pemandu lori tersebut tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Walau bagaimanapun, akibat daripada kemalangan, berlaku kejadian tumpahan minyak sawit di kesemua lorong di laluan lebuh raya tersebut,” katanya dalam satu kenyataan, pada Rabu.
Mohd Naim berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan kejadian itu diminta menghubungi pihak polis bagi membantu siasatan di bawah di bawah Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 (Rule 10 LN 166/59).
Katanya, mereka boleh menghubungi Penolong Pegawai Penyiasat Trafik Unit Siasatan Lebuhraya Bukit Aman, Sarjan Mohd Syauqi Haris Fazillah di talian 013-8146324.
“Pihak polis menasihatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati dan bertimbang rasa semasa memandu, serta mendapatkan rehat yang secukupnya agar dapat mengelak daripada berlakunya kejadian yang tidak diingini,” tambah beliau.
Terdahulu MG Perak melaporkan, sebanyak 1.2 tan metrik serbuk kayu digunakan pasukan bomba untuk membersihkan kesan tumpahan minyak sawit mentah di km 348.2 Lebuh Raya PLUS arah selatan. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Bomba guna 1.2 tan metrik serbuk kayu bersih tumpahan minyak