Restoran 24 jam kotor dan berbau diarah tutup

IPOH – Jijik dan meloyakan. Itu gambaran sebuah restoran 24 jam yang beroperasi dalam keadaan kotor serta tidak mematuhi amalan kebersihan pengendali makanan dan penyimpanan bahan mentah.

Restoran itu diarah tutup sementara selama 14 hari di bawah Seksyen 11 Akta Makanan 1983 selepas diperiksa dalam Operasi Khas Penguatkuasa Jabatan Kesihatan Negeri melibatkan empat premis makanan di sekitar Station 18 malam tadi.

Operasi yang dijalankan secara bersepadu itu turut disertai Jabatan Tenaga Kerja (JTK), Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dan polis.

Dalam pemeriksaan pada jam 9.30 malam itu mendapati, keadaan dapur di restoran tersebut sangat sempit, kotor dan berbau.

Restoran 24 jam kotor, jijik diarah tutup 14 hari
Exco Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Perak, A Sivanesan menunjukkan takungan air pada sinki salah satu premis makanan ketika melakukan Operasi Perak Bersih dan Sihat (OPBS) dan Operasi Premis Makanan Bersih (OPMB) di sekitar Station 18 Pasir Puteh malam tadi. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 21 JUN 2024.

Selain itu, ketika pemeriksaan dijalankan bahan masakan seperti tepung, kentang dan mi segera yang sepatutnya ditempatkan di tingkat satu premis berkenaan boleh dilihat diletakkan di tepi tangga dalam keadaan terdedah.

Malah, penginapan pekerja yang rata-rata didiami warga asing juga dilihat tidak sesuai dijadikan penempatan kerana keadaan persekitarannya yang terlalu kotor.

Exco Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional Perak, A Sivanesan berkata, premis berkenaan diarah tutup selepas didapati tidak mencapai standard kebersihan yang ditetapkan.

“Kita lihat tangga, bau teruk dan tahap kebersihan kosong, saya bagi markah kosong. Tadi kita nampak ada tanda lipas, tikus belum kita tahu. Ini kerana pemeriksaan dijalankan pada waktu malam, keadaan gelap kita tak dapat buat pemeriksaan penuh.

“Restoran pertama yang kita periksa ini rasa nak muntah. Ada pelanggan duduk makan di luar dan mereka tidak tahu keadaan sebenar. Kita amat memandang serius perkara ini,” katanya pada sidang media selepas selesai menyertai operasi tersebut malam tadi.

Restoran 24 jam kotor, jijik diarah tutup 14 hari
Exco Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Perak, A Sivanesan (kiri) menampal notis perintah tutup premis makanan pada salah satu restoran ketika melakukan Operasi Perak Bersih dan Sihat (OPBS) dan Operasi Premis Makanan Bersih (OPMB) di sekitar Station 18 Pasir Puteh malam tadi. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 21 JUN 2024.

Hadir sama, Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri, Dr Noor Rizawati Mahpot dan Pengarah JTK Perak, Muhamad Fauzi Abd Ghani.

Dalam perkembangan berkaitan, Sivanesan berkata, restoran tersebut adalah salah satu daripada 359 premis yang diperiksa dalam operasi berkenaan di seluruh Perak.

Katanya, operasi khas ini bertujuan untuk menambah baik isu kebersihan premis makanan,  khususnya yang beroperasi 24 jam dan premis-premis yang beroperasi pada sebelah malam.

“Sejumlah 316 notis kesalahan dikeluarkan kepada pengendali makanan melibatkan kompaun RM44,200 kerana tidak mematuhi kehendak di bawah Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan (PPKM) 2009.

“Antara kesalahan yang dikenal pasti adalah tidak mematuhi kehendak yang berhubungan dengan tugas am tuan punya premis makanan; tidak mematuhi pakaian pengendali makanan; tidak menjaga kebersihan dan pengendali makanan serta tidak dapat mengekalkan premis makanan bersih,” jelasnya.

Restoran 24 jam kotor, jijik diarah tutup 14 hari
Exco Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Perak, A Sivanesan selepas memeriksa salah satu premis makanan ketika melakukan Operasi Perak Bersih dan Sihat (OPBS) dan Operasi Premis Makanan Bersih (OPMB) di sekitar Station 18 Pasir Puteh malam tadi. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 21 JUN 2024.

Menurutnya, bagi penguatkuasaan Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004, sebanyak 81 notis kesalahan telah dikeluarkan dengan nilai kompaun lebih RM20,000.

“Operasi kali ini turut dijalankan aktiviti pensampelan makanan dan swab pengendali makanan bagi menentukan tahap kebersihan sebenar premis,” katanya.

Sivanesan turut memaklumkan sepanjang tempoh Januari hingga Mei tahun ini, sebanyak 5,443 premis makanan diperiksa melalui aktiviti penguatkuasaan Akta Makanan 1983 dan peraturan-peraturan dibawahnya.

“Daripada jumlah itu, 1,330 notis kesalahan telah dikeluarkan dengan nilai kompaun RM244,176 dan sebanyak 31 premis makanan pula telah dikenakan perintah penutupan sementara kerana premis tidak suci,” katanya.

Beliau memaklumkan empat restoran yang diperiksa dalam operasi malam tadi turut menyediakan penempatan bagi pekerja asing.

Bagaimanapun, katanya penempatan tersebut tidak mendapat perakuan penginapan daripada JTK.

Restoran 24 jam kotor, jijik diarah tutup 14 hari
Exco Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Perak, A Sivanesan (dua, kiri) memeriksa tempat tinggal pekerja premis makanan ketika melakukan tinjauan salah satu restoran pada Operasi Perak Bersih dan Sihat (OPBS) dan Operasi Premis Makanan Bersih (OPMB) di sekitar Station 18 Pasir Puteh malam tadi. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 21 JUN 2024.

“Pemeriksaan yang dijalankan mendapati seramai 61 pekerja warga asing dan 20 warga tempatan bekerja di keempat-empat restoran itu namun kita yakin jumlah sebenar lebih ramai.

“Kita juga mendapati pihak majikan telah melakukan pelbagai pelanggaran Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446) dan Akta Kerja 1955.

“Kesalahan itu termasuklah tiada kontrak kerja, tiada penyata gaji, gagal melaporkan penggajian pekerja asing dan bayaran kerja lebih masa yang tidak mengikut akta ditetapkan,” jelasnya. – MG Perak

Artikel  Berkaitan:

Sasar 2,500 premis makanan gred A menjelang 2025 – Datuk Bandar

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI