Restoran simpan minyak masak tanpa permit

TAIPING – Sebuah restoran di Medan Simpang, Simpang, dekat sini dikenakan tindakan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) selepas didapati menyimpan minyak masak tanpa permit, pada Rabu.

Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, tindakan itu diambil susulan pemeriksaan harian penguat kuasa KPDN Cawangan Taiping sekitar jam 1 tengah hari.

Katanya, hasil pemeriksaan mendapati restoran berkenaan gagal mengemukakan lesen atau permit bagi kebenaran menyimpan barang kawalan iaitu 86 botol minyak masak seberat 5 kilogram (kg) setiap satu di premis tersebut.

“Premis telah disyaki menyimpan barang kawalan tersebut tanpa kebenaran Pengawal Bekalan Malaysia.

“Sehubungan itu, satu tindakan kes telah diambil di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan barang kawalan iaitu minyak masak botol sebanyak 86 botol dengan kesemuanya seberat 430 kg serta dokumen berkaitan telah disita.

“Nilai keseluruhan barang rampasan adalah dianggarkan berjumlah RM 2,657.40,” katanya dalam satu kenyataan, pada Khamis.

Jelas beliau lagi, minyak masak merupakan barang kawalan berjadual di bawah akta berkenaan dan perlu mempunyai permit atau surat kebenaran untuk membeli dalam jumlah tertentu daripada pemborong berlesen bagi kegunaan selain dari tujuan jualan semula.

Justeru Kamalludin berkata, di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961, jika sabit kesalahan bagi pertubuhan perbadanan boleh didenda tidak melebihi RM2 juta dan bagi kesalahan kedua atau berikutnya, didenda sehingga RM5 juta.

“Manakala jika pesalah bukan pertubuhan perbadanan, boleh didenda sehingga RM1 juta atau dipenjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya.

“Bagi kesalahan kedua atau berikutnya, boleh didenda tidak melebihi RM3 juta
atau dipenjarakan maksimum tempoh lima tahun atau kedua-duanya,” katanya lagi. – MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

KPDN Perak rampas lebih 600 jersi tiruan

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI