Reunion alumni SITC himpunkan tokoh pendidikan, politik, legasi negara

TANJUNG MALIM – Seramai 14 alumni era Sultan Idris Training College (SITC) berjaya dihimpunkan dalam Majlis Malam Tautan dan Jalinan Kasih Alumni SITC di Dewan Sri Tanjung, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah (KSAJS), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), baru-baru ini.

Majlis anjuran Persatuan Alumni Suluh Budiman (PASB) dengan kerjasama Pusat Alumni UPSI itu dirasmikan oleh alumni SITC yang juga bekas Menteri Negara Kanan (Pendidikan) Singapura, Datuk Seri Sidek Saniff.

Sidek berkata, pertemuan berkenaan amat bermakna kerana membangkitkan kenangan zaman pengajian beliau di SITC sekitar tahun 1955 hingga 1957 bersama rakan-rakan seangkatan.

Menurutnya, kini pada usia 88 tahun, beliau masih mengingati pengalaman peribadi yang sukar dilupakan apabila dilantik sebagai ketua pelajar pada tahun akhir pengajian.

“SITC mempunyai nilai tersendiri dalam hidupnya kerana di situ saya belajar mengenal nilai kemanusiaan, keterbukaan fikiran dan demokrasi,” katanya yang merupakan antara alumni SITC yang konsisten menghadiri majlis anjuran UPSI termasuk program Sirih Pulang ke Gagang.

Dalam pada itu, Presiden PASB merangkap Ahli Lembaga Pengarah UPSI, Datuk Seri Ahmad Burak berkata, program tersebut bertujuan menghimpunkan bekas pelajar SITC yang kebanyakannya kini berusia antara 86 hingga 100 tahun.

“Selaku presiden PASB, saya rasa pertemuan dalam reunion kali ini begitu bererti sekali kerana semua bekas pelajar SITC yang berusia antara 86 hingga 100 tahun yang hadir itu masing-masing mempunyai kelebihan tersendiri.

“Selain tokoh politik seperti mantan menteri dan timbalan menteri besar, majlis itu turut dihadiri bekas pelajar SITC yang pernah mencipta nama di dalam dan luar negara,” katanya yang juga Timbalan Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Alumni Universiti Awam Malaysia.

Katanya, meskipun jumlah kehadiran tidak ramai, ia sudah memadai untuk menjadi kenangan berharga kepada semua pihak yang terlibat.

“Antara tokoh ternama yang hadir ialah Datuk Seri Sidek Saniff dan mantan Timbalan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Abd Jabbar Ibrahim.

“PASB akan membantu memdokumentasikan program ini untuk simpanan UPSI termasuk mengabadikan foto setiap peserta beserta biodata mereka, malah akan bekerjasama dengan Pusat Alumni UPSI untuk menjejak bekas pelajar SITC yang tidak dapat hadir pada reunion kali ini.

“Kami berharap dapat mengumpulkan lebih banyak maklumat mengenai bekas pelajar era pertama institusi yang banyak berjasa dalam sisten pendidikan negara,” ujarnya.

Pengarah Pusat Alumni UPSI, Dr Omar Firdaus Mohd Said pula berkata, pihaknya sentiasa memberikan sokongan terhadap semua program yang dianjurkan oleh PASB selaku satu-satunya pertubuhan alumni yang berdaftar dan diiktiraf di UPSI.

“Penganjuran Reunion SITC kali ini adalah simbolik kepada kekuatan institusi karamah ini dalam memastikan legasi pendidikan negara sentiasa dijulang dan dimartabatkan,” katanya.

Beliau turut memaklumkan bahawa Pusat Alumni UPSI berkongsi pelbagai inisiatif baharu untuk manfaat alumni berlandaskan prinsip, “Selagi hayat di kandung badan, kami tetap berbakti”.

Sementara jtu, Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr Md Amin Md Taff yang turut menghadiri majlis tersebut menyifatkan pertemuan alumni SITC sebagai ruang untuk mengubat rindu serta mengimbau kenangan lama yang menyentuh jiwa. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Buku Worldview dan Hegemoni Sastera Melayu raih Anugerah Khas AIBA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI