IPOH – Kuil Kallumalai Arulmigu Subramaniar di Gunung Cheroh di sini antara yang menjadi tumpuan utama sempena sambutan perayaan Deepavali apabila hampir 10,000 penganut agama Hindu hadir menunaikan upacara keagamaan sejak awal pagi tadi.
Seawal jam 6 pagi, perkarangan kuil mula dipenuhi penganut yang datang bersama keluarga bagi melaksanakan ritual dan upacara keagamaan sebagai tanda kesyukuran serta memperbaharui semangat sempena pesta cahaya itu.
Pengunjung yang hadir meliputi pelbagai peringkat usia turut dilihat mengenakan pakaian tradisi kaum India yang penuh warna-warni.
Turut kelihatan pelancong asing yang mengambil kesempatan untuk menyaksikan sendiri suasana sambutan Deepavali yang disambut secara tradisi oleh masyarakat India di negara ini.
Lukisan kolam turut menghiasi kawasan sekitar kuil, dihasilkan menggunakan beras berwarna-warni dipercayai membawa keberkatan serta melambangkan keharmonian dalam kalangan masyarakat Hindu.
Sementara itu, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad menzahirkan ucapan Selamat Hari Deepavali kepada seluruh penganut Hindu di seluruh negara.
“Raikanlah perayaan ini bersama keluarga tercinta, sahabat handai dan sanak saudara.
“Semoga perayaan Deepavali ini membawa sinar kegembiraan, kasih sayang dan kedamaian buat semua yang meraikannya. Deepavali Valthukkal!” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.
Deepavali yang juga dikenali sebagai Perayaan Cahaya disambut setiap tahun oleh penganut Hindu sebagai simbol kemenangan kebaikan mengatasi kejahatan dan cahaya menghapuskan kegelapan dalam kehidupan. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
PM seru sambut Deepavali dengan perpaduan, teguh semangat kekitaan