PUTRAJAYA – Datuk Seri Anwar Ibrahim melahirkan rasa syukur dengan prestasi Ringgit Malaysia (RM) yang mencatatkan lebih kukuh 3.9850/9950 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) sejak 8 pagi tadi.
“Alhamdulillah….,” kata Perdana Menteri secara ringkas sambil berlalu dan tersenyum lebar tanpa mengulas lanjut kepada pemberita selepas Majlis Peluncuran Sambutan 120 tahun Jabatan Audit Negara di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini, hari ini.
Pada 8 pagi, ringgit mengukuh kepada 3.9850/9950 berbanding dolar AS daripada 4.0045/0080 dicatatkan pada Jumaat lepas.
Ringgit dibuka lebih kukuh berbanding dolar AS pada Isnin, berada hampir pada paras tertinggi dalam tempoh lebih tujuh tahun berikutan kesediaan mengambil risiko yang meningkat selepas keputusan Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) dan indeks dolar AS yang rendah.
Ringgit kali terakhir diniagakan pada paras yang sama adalah pada 24 Mei 2018 apabila ia mencecah RM3.9797 berbanding dolar AS. – MalaysiaGazette


