RM1.12 juta untuk Projek Kampung Angkat MADANI JKDM

PADANG RENGAS – Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM1.12 juta kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) bagi pelaksanaan Projek Kampung Angkat MADANI di Kampung Padang Asam, dekat sini, pada tahun ini.

Ketua Pengarah Kastam, Datuk Anis Rizana Mohd Zainudin berkata, Kementerian Kewangan telah menyalurkan peruntukan sebanyak RM820,000 bagi pembangunan 10 projek infrastruktur asas serta RM300,000 bagi program kemasyarakatan.

Katanya, kesemua projek infrastruktur berkenaan telah berjaya disiapkan yang merangkumi pembangunan empat projek infrastruktur asas di sekitar Kampung Padang Asam yang melibatkan nilai peruntukan sebanyak RM431,374.

Kata beliau, ia disalurkan bagi kerja-kerja penyelenggaraan jalan, pemasangan lampu jalan berkuasa solar, pembaikan jambatan serta naik taraf kemudahan di kawasan tanah perkuburan.

“Bagi Masjid al-Khairiyah pula, sebanyak tiga projek infrastruktur asas dengan peruntukan sebanyak RM190,980 telah disiapkan.

“Ia melibatkan kerja-kerja menaiktaraf kemudahan tangki simpanan air telaga dan bilik mandi, menaik taraf tempat meletak kenderaan berbumbung dan pembekalan kabin atau bahan binaan pasang siap untuk menjalankan aktiviti ekonomi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutupan dan Penyerahan Projek Kampung Angkat MADANI JKDM di Masjid Al-Khairiyah, Kampung Padang Asam, dekat sini, pada Sabtu.

Hadir sama, Pengarah Kastam Negeri Perak, Mohd Nadzri Ariffin.

Anis Rizana berkata, di bawah inisiatif Kampung Angkat MADANI itu, turut disalurkan peruntukan bernilai RM153,000 bagi dua infrastruktur asas di Sekolah Kebangsaan Padang Asam yang melibatkan menaik taraf kemudahan dan membaik pulih enam bilik darjah.

Kata beliau, juga disalurkan RM44,646 bagi projek membaik pulih bangunan Sekolah Rendah Agama Rakyat Kampung Padang Asam yang melibatkan infrastruktur asas.

“Program ini mempunyai matlamat agar jurang pembangunan antara bandar dan luar bandar dapat dirapatkan melalui penyediaan kemudahan asas serta fasiliti komuniti di kampung-kampung terpilih.

“Program Kampung Angkat MADANI ini juga merupakan suatu pendekatan ‘whole of government’ yang menyentuh denyut nadi rakyat bagi melengkapi keperluan asas infrastruktur setiap kampung yang terpilih,” katanya lagi.

Mengulas tentang program kemasyarakatan, Anis Rizana memberitahu, ia merupakan usaha JKDM dalam menerapkan pendekatan yang inklusif dan bermanfaat bagi menyemai semangat kebersamaan, memupuk nilai kesukarelawanan serta memperkasa kesejahteraan masyarakat.

Ujar beliau, pelaksanaan program itu merangkumi aktiviti gotong-royong, sukan rakyat, program pertandingan kreativiti serta kemahiran komunikasi, pemeriksaan kesihatan dan pencegahan kebakaran.

“Selain itu, di bawah program kemasyarakatan ini, JKDM turut menyalurkan sumbangan barangan asas kepada penduduk kampung, serta kemudahan pembelajaran kepada sekolah seperti kerusi dan meja.

“Turut disumbangkan adalah peralatan kepada masjid dan kampung seperti mesin pemotong rumput, gergaji rantai, ‘water jet pump’ dan ‘air hand blower’,” katanya. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Kampung Angkat MADANI: Projek RM1.2 juta beri manfaat 600 penduduk

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI