IPOH – Sebanyak RM11.05 juta diperuntukkan bagi perkhidmatan pengurusan kutipan sampah di luar kawasan operasi pihak berkuasa tempatan (PBT) di Negeri Perak.
Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri, Sandrea Ng Shy Ching berkata, peruntukan itu bagi menampung kos penyediaan tapak kutipan, pembelian tong sampah dan juga perkhidmatan di 171 kampung tradisi setakat ini.
Katanya, perkhidmatan itu masih diteruskan dengan mengekalkan jumlah kampung sedia ada serta memfokuskan kepada penambahbaikan operasi berkenaan.
“Setelah masuk tahun keempat pelaksanaan inisiatif ini, kerajaan negeri kini sedang mengkaji semula dasar ini untuk meningkatkan lagi kerjasama dengan peringkat komuniti termasuk Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK).
“Ini kerana peranan JPKK penting dalam membantu kerajaan terhadap pelaksanaan kutipan sampah di luar kawasan operasi PBT supaya pemantauan ke atas inisiatif itu dapat ditambah baik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Azman Noh (BN-Pengkalan Baharu) pada Mesyuarat Ketiga, Tahun Kedua Dewan Negeri Perak Yang ke-15 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, dekat sini, pada Selasa.
Pada perkembangan sama Sandrea (PH-Teja) berkata, isu pembuangan sampah haram merupakan masalah kompleks yang memerlukan pendekatan menyeluruh.
Kata beliau, punca utama masalah ini termasuk kekurangan tempat pembuangan sampah yang sesuai, terutamanya di kawasan luar bandar.
Justeru Sandrea berkata, pelbagai usaha diambil dalam memastikan masalah pembuangan sampah haram termasuk menambah baik perkhidmatan kutipan sampah secara berkala.
Di samping itu beliau memberitahu, masyarakat juga memainkan peranan penting dalam memastikan itu tersebut tidak terus berlarutan.
“Antara usaha yang diambil adalah pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan titik panas lokasi pembuangan sampah haram seperti di kawasan terpencil, perindustrian dan kediaman.
“Rakaman video melalui CCTV membantu PBT untuk memudahkan penguatkuasaan daripada segi penyediaan bukti sahih bagi proses tindakan undang-undang dan kompaun,” jelas beliau. – MG Perak
Artikel Berkaitan: