RM15 juta naik taraf Tabika Kemas Autisme seluruh negara

IPOH – Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) memperuntukkan RM15 juta bagi kerja-kerja baik pulih taman bimbingan kanak-kanak (Tabika) di seluruh negara untuk memenuhi keperluan pelaksanaan Tabika Kemas Autisme pada tahun 2027.

Ketua Pengarah Kemas, Datuk Mohd Hanafiah Man berkata, program latihan untuk guru-guru tambahan juga akan dimulakan pada suku kedua tahun hadapan bagi menampung keperluan tenaga pengajar baharu.

Menurutnya, semua persiapan bagi pelaksanaan program tersebut sedang berjalan lancar, termasuk kerja-kerja menaik taraf bangunan Tabika Kemas yang dikenal pasti sesuai dengan keperluan kanak-kanak autisme.

“Sebanyak 14 buah bangunan Tabika Kemas telah dinaik taraf dan seramai 52 orang guru, melibatkan tiga guru bagi setiap Tabika, telah menjalani latihan sepenuhnya.

“Insya-Allah apabila sesi persekolahan bermula Januari ini (2026), Tabika Kemas Autisme akan mula beroperasi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Sambutan Hari Kanak-Kanak Peringkat Negeri Perak (Smart Kids) 2025 di Kompleks Jabatan Belia dan Sukan Negeri Perak pada Ahad.

Hadir sama, Exco Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak, Datuk Salbiah Mohamed dan Pengarah Sekretariat Pembangunan Wanita dan Masyarakat Perak (Wanita Perak) Jamaliah Zakaria.

Katanya, bagi tahun 2027, Kemas akan memperluaskan pelaksanaan dengan membuka sebuah Tabika Kemas Autisme di setiap daerah.

“Sebagai contoh, di Perak sahaja akan dibuka 12 Tabika Kemas Autisme di 12 daerah. Kerja-kerja naik taraf bagi tujuan ini akan dimulakan pada suku kedua tahun 2026, sekitar April,” jelasnya.

Mengulas mengenai proses pemilihan murid, Mohd Hanafiah menjelaskan bahawa pemilihan akan dibuat berdasarkan permohonan yang dikemukakan dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Hanya anak-anak yang memiliki kad perakuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan diterima. Fokus utama kita adalah kepada anak-anak daripada kumpulan B40 dan M40, khususnya di kawasan luar bandar,” katanya.

Beliau turut memaklumkan, setiap Tabika Kemas Autisme akan menempatkan seramai 15 murid dengan nisbah seorang guru bagi lima murid, selaras dengan kaedah yang ditetapkan.

Sebelum ini Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata, bermula tahun depan, Tabika akan diperluaskan khusus kepada kanak-kanak autisme.

Tabika itu akan dilaksanakan dengan kerjasama KEMAS dengan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI). – MG Perak

Artikel Berkaitan:

RM40 juta naik taraf tabika, taska KEMAS

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI