BERUAS – Sebanyak RM2.2 juta diperuntukkan bagi pengindahan semula Pekan Beruas yang dilaksanakan secara berfasa melibatkan pembinaan Laman Memori Beruas dan Dataran Gangga Negara.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, pelaksanaan projek berkenaan direalisasikan melalui kerjasama antara Majlis Perbandaran Manjung (MPM) dan Vale Malaysia Minerals Sdn. Bhd. (Vale) menerusi pendekatan tanggungjawab sosial korporat (CSR).
“Fasa pertama melibatkan pembangunan Laman Memori Beruas yang menampilkan elemen mural dan susun atur landskap bagi mengangkat identiti serta memori tempatan.
“Fasa kedua pula melibatkan pembangunan Dataran Gangga Negara serta penyediaan laluan pejalan kaki yang lebih selesa dan selamat.

“Pendekatan ini memudahkan pergerakan orang ramai, khususnya warga emas dan kanak-kanak, di samping menjadikan kawasan pekan lebih mesra pengguna,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Dataran Gangga Negara, di sini, pada Isnin yang turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Baharu, Noor Azman Ghazali.
Mengulas lanjut Saarani berkata, Dataran Gangga Negara memberi penekanan kepada penyediaan laluan pejalan kaki atau Beruas walkways yang lebih teratur, selari dengan konsep bandar mesra pejalan kaki.
Jelas beliau, pendekatan ini bukan sahaja meningkatkan kualiti hidup dan kesihatan penduduk, malah membantu mengurangkan kesesakan lalu lintas serta memelihara persekitaran setempat.

“Kemudahan awam yang lebih teratur ini memberi sokongan kepada aktiviti ekonomi tempatan.
“Apabila orang ramai singgah, peniaga kecil dan usahawan setempat berpeluang menikmati limpahan manfaat melalui peningkatan kunjungan dan aktiviti ekonomi,” katanya.
Menurut beliau, Kerajaan Negeri menghargai komitmen kedua-dua pihak dalam memainkan peranan penting menyediakan kemudahan awam tersebut untuk manfaat masyarakat Beruas.
Saarani berkata, penyediaan kemudahan yang kemas dan terurus seperti ini membantu Beruas bersedia menerima kunjungan orang ramai sempena Tahun Melawat Malaysia 2026.
Tambahnya ia juga meningkatkan daya tarikan Beruas sebagai destinasi singgahan dan komuniti yang hidup. -MG Perak


