IPOH – Penduduk Medan Klebang Prima, Chemor, di sini, bakal menikmati sistem kumbahan yang berfungsi dengan lebih selamat dan baik susulan kelulusan peruntukan RM3.5 juta oleh Kementerian Kewangan Malaysia (MOF), pada Sabtu lalu.
Peruntukan yang disampaikan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu disalurkan bagi kerja membaik pulih Loji Rawatan Kumbahan (STP) dan saluran paip pembentungan di kawasan tersebut.
Skim perumahan yang merangkumi 614 unit rumah kos rendah dan enam unit kedai desa itu dibangunkan oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk) melalui anak syarikatnya Majuperak Holdings Berhad (MHB) serta telah diduduki sejak tahun 2006.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MHB, Muhammad Yazurin Sallij berkata, kerja-kerja membaik pulih itu akan melibatkan beberapa perkara termasuk pemeriksaan teknikal menggunakan kamera litar tertutup (CCTV).
Katanya, ia juga akan membabitkan kerja-kerja penggantian paip rosak serta pemulihan jajaran pembentungan.
“Ini bagi memastikan sistem kumbahan dapat kembali berfungsi dengan sempurna sebelum penyerahan kepada Indah Water Konsortium (IWK). dan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).
“Proses tender terbuka akan dilaksanakan selaras dengan Pekeliling Perolehan Kerajaan Malaysia bagi memastikan ketelusan serta pematuhan spesifikasi teknikal,” katanya dalam satu kenyataan.
Menerusi kenyataan sama PKNPk memaklumkan, masalah yang membabitkan sistem kumbahan itu berpunca daripada mendapan tanah di beberapa lokasi di kawasan perumahan tersebut.
Katanya, ia telah menjejaskan jajaran paip kumbahan dan menyebabkan sebahagian sistem gagal berfungsi dengan sempurna, sekali gus memberi kesan kepada alam sekitar serta kesejahteraan penduduk.
Menurutnya lagi, situasi itu telah menimbulkan kesulitan kepada penduduk sejak beberapa tahun lalu, dan ia memberi tekanan kepada penduduk dan menjejaskan kualiti hidup mereka.
“Masalah yang dihadapi mereka termasuk gangguan sistem kumbahan, limpahan air sisa dan bau kurang menyenangkan yang menjejaskan keselesaan harian, serta menimbulkan kebimbangan terhadap aspek kesihatan dan keselamatan,” katanya.
Dalam pada itu, Ketua Eksekutif PKNPk, Datuk Redza Rafiq Abdul Razak berkata, kelulusan peruntukan oleh MOF itu membolehkan kerja membaik pulih dilaksanakan secara menyeluruh.
Katanya, ia bukan sekadar projek pembangunan fizikal, tetapi sebagai satu langkah strategik yang membuktikan kesungguhan kerajaan menterjemahkan dasar kepada tindakan yang memberi impak langsung kepada rakyat.
“Isu yang sekian lama membelenggu penduduk ini kini bakal diselesaikan secara komprehensif menerusi tindakan pantas serta pelaksanaan kerja naik taraf yang dirancang rapi, sejajar dengan keperluan teknikal dan garis panduan pihak kawal selia” katanya dalam kenyataan sama.
Menurut Redza Rafiq lagi, projek itu merupakan komitmen berterusan kerajaan negeri dalam merealisasikan aspirasi Perak Sejahtera 2030 (PS2030) serta mendukung agenda Kerajaan MADANI yang menekankan pembangunan bandar lestari, persekitaran bersih dan kesejahteraan rakyat.
Tambah beliau, kesinambungan yang kukuh antara kelulusan fiskal, pelaksanaan projek dan manfaat kepada komuniti mencerminkan pendekatan tadbir urus berasaskan hasil yang diamalkan kerajaan.
“Pendekatan ini memperlihatkan keutamaan terhadap akauntabiliti, ketelusan serta keberkesanan pelaksanaan di peringkat akar umbi, selaras dengan semangat Malaysia MADANI yang mengutamakan kesejahteraan dan kemakmuran rakyat.” katanya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:


