RM31.3 Juta e-waste dirampas dalam serbuan kilang haram di Parit

PARIT – Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Utara menemui pelbagai sisa elektronik (e-waste) bernilai RM31.3 juta dalam serbuan di sebuah premis kilang memproses sisa berkenaan, di sini semalam.

Peralatan dan kelengkapan haram itu ditemui dalam Op Hazard yang diadakan secara bersepadu sekitar jam 9 pagi Selasa.

Operasi terbabit melibatkan pasukan pegawai dan anggota Kompeni B, Batalion 3 PGA serta Cawangan Risik Ibu Pejabat Briged Utara, PGA Ulu Kinta dibantu Jabatan Alam Sekitar (JAS) Perak, Majlis Daerah Perak Tengah (MDPT) dan Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Perak Tengah.

Komander PGA Briged Utara, Senior Asisten Komisioner Shahrum Hashim berkata, pihaknya menemui pelbagai peralatan serta kelengkapan di dalam kawasan kilang haram yang disyaki menjalankan aktiviti pemprosesan e-waste secara haram.

“Semasa pemeriksaan dijalankan di kilang ini yang terletak lima kilometer (km) dari jalan utama di dalam ladang kelapa sawit, terdapat sebuah treler di dalam kawasan kilang yang diperiksa yang mengandungi bongkah-bongkah mampat disyaki e-waste yang belum diproses.

“Dalam serbuan itu, kita turut merampas bongkah-bongkah disyaki e-waste seberat 105,300 kilogram (kg), arang batu (5,000kg), pelbagai peralatan pemprosesan e-waste, sebuah treler, dan dua pacuan empat roda.

“Manakala, sebuah bangunan yang digunakan untuk memproses e-waste dengan keluasan 0.078 hektar turut disita oleh PDT Seri Iskandar dengan nilai anggaran keseluruhan rampasan berjumlah RM31,337,000,“ katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata, tiga lelaki tempatan berusia 36 hingga 70 tahun turut ditahan manakala bongkah -bongkah disyaki e-waste yang dirampas diserahkan kepada JAS Perak untuk siasatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 kerana menjalankan aktiviti ditetapkan tanpa lesen dan Seksyen 19 kerana membina bangunan bagi tujuan aktiviti itu tanpa kelulusan Ketua Pengarah.

“Seksyen 34A kerana beroperasi tanpa kelulusan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) dan Seksyen 34B kerana menyimpan, meletak atau melupuskan buangan terjadual tanpa kelulusan Ketua Pengarah, Seksyen 6 Akta Peniaga Sekendhend 1946 dan Seksyen 127 Kanun Tanah Negara (Borang 7A Notis Untuk Memulih Pelanggaran Syarat Tanah).

“Siasatan lanjut oleh Cawangan Risik Batalion 3 PGA masih dijalankan bagi mengesan individu atau sindiket yang menjalankan aktiviti pemprosesan sisa e-Waste tanpa lesen dan permit yang sah mengikut Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, khusunya sekitar negeri Perak,“ ujarnya. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Kilang proses e-waste haram diserbu, nilai rampasan RM111.4 Juta

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI