RM40 juta baiki 800 jalan perumahan di Perak – Nga

IPOH – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menyalurkan peruntukan berjumlah RM40 juta kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi tujuan penurapan semula jalan raya melibatkan hampir 800 jalan di kawasan perumahan di seluruh Perak.

Menterinya, Nga Kor Ming berkata, jumlah itu adalah tambahan RM20 juta kepada peruntukan sebelum ini yang disalurkan kepada Majlis Bandaraya Ipoh (MBI).

“KPKT tambah lagi RM20 juta, menjadikan RM40 juta untuk negeri Perak. Dijangka jika satu jalan di kawasan perumahan menelan kos RM50,000, dengan RM40 juta ini kita akan mampu menurap semula hampir 800 jalan baharu di kawasan-kawasan perumahan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas melakukan lawatan kerja di Bandar Medan Ipoh di sini pada Jumaat.

Hadir sama, Ketua Pengarah Jabatan Landskap Negara, Mansor Mohamad; Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Perak, Sandrea Ng Shy Ching; Exco Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Perak, Teh Kok Lim dan Datuk Bandar Ipoh, Zamakhshari Hanipah.

Nga menjelaskan, KPKT diberikan amanah tanggungjawab bersama PBT untuk menjaga jalan di kawasan perumahan, Jalan Persekutuan di bawah bidang kuasa Jabatan Kerja Raya (JKR) manakala Jalan Negeri di bawah bidang kuasa kerajaan negeri.

“Sebab itu, ini adalah berita yang amat memberangsangkan khas untuk penduduk-penduduk warga rakyat negeri Perak yang dikasihi. 800 jalan bakal siap sepenuhnya sebelum Hari Raya Aidilfitri,“ ujarnya.

Katanya, peruntukan RM20 juta itu akan memberi manfaat kepada Majlis Perbandaran Manjung (RM5 juta); Majlis Perbandaran Teluk Intan (RM3.08 juta); Majlis Perbandaran Taiping (RM3.1 juta) dan selebihnya akan diagihkan kepada majlis daerah lain.

RM40 juta baiki 800 jalan perumahan di Perak - Nga
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming merasmikan lawatan kerja ke Bandar Baru Medan Ipoh hari ini. Foto ABDULLAH YUSOF, 02 JANUARI 2026.

“Ini bermaksud hampir semua PBT di negeri Perak akan diberikan peruntukan khas daripada RM40 juta ini,” jelasnya.

Tambahnya, peruntukan tersebut adalah hasil langkah penjimatan yang dilaksanakan oleh Jabatan Kerajaan Tempatan (JKT)

“Ini adalah hasil daripada kebijaksanaan Jabatan Kerajaan Tempatan (JKT) menerusi pelbagai langkah-langkah penjimatan.

“Selepas kita dapat jimat duit, kita serahkan balik kepada rakyat supaya tidak ada pembaziran dan setiap sen itu akan dimanfaatkan sepenuhnya demi meningkatkan kesejahteraan rakyat,“ katanya.

Sebelum ini, KPKT telah menyalurkan peruntukan berjumlah RM20 juta kepada MBI sekali gus menjadikannya PBT yang menerima peruntukan tertinggi di seluruh negara.

Nga berkata, peruntukan tersebut akan digunakan sepenuhnya bagi kerja penurapan semula jalan raya, khususnya melibatkan hampir 400 jalan di kawasan perumahan di sekitar Ipoh. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

KPKT salur RM20 juta kepada MBI, turap 400 jalan

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI