GOPENG – Peruntukan RM40 juta diluluskan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) bagi menaik taraf dan membaik pulih Taman Bimbingan Kanak-kanak (Tabika) dan Taman Asuhan Kanak-Kanak (Taska) Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) di seluruh negara pada tahun depan.
Ketua Pengarah KEMAS, Datuk Mohd Hanafiah Man berkata, kerja-kerja membaik pulih itu akan diberi keutamaan kepada bangunan yang sudah uzur dan rosak.
Menurutnya, daripada 10,600 kelas yang beroperasi, lebih 60 peratus memerlukan penyelenggaraan segera atas faktor keselesaan dan keselamatan murid.
“Kerja penyelenggaran itu dilaksanakan bagi memastikan anak-anak yang berada di tabika dan taska berada dalam persekitaran selamat untuk mengikuti pelajaran mereka.
“Buat masa ini semua negeri sedang menyiapkan data akhir tabika yang perlu dinaik taraf dan baik pulih.
InsyaAllah, pada awal Februari kita dah boleh mula proses sebut harga dan tender untuk melaksanakan kerja-kerja tersebut,“ katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan perjumpaan bersama kakitangan KEMAS Perak di Pusat Kegiatan Masyarakat Kemas Gopeng di sini pada Isnin.
Hadir sama, Pengarah Kemas Perak, Taufik Mohd Yusop.
Dalam perkembangan sama, Mohd Hanafiah berkata, sebanyak 17 buah tabika baharu akan dibina di beberapa negeri termasuk dua di Perak iaitu di Kampar dan Tambun.
“Alhamdulillah minat ibu bapa untuk menghantar anak-anak ke tabika KEMAS semakin meningkat dan sehingga kini jumlah senarai menunggu melebihi 20,000 anak-anak.
“Ini kerana pada tahun hadapan program pra tahfiz akan dikembangkan pada tahun hadapan daripada 4,000 kelas kepada 8,000 kelas,“ ujarnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
PADU: Perak hasrat jadikan KEMAS sebagai agen sebar maklumat