RM5 bilion wang rasuah dirampas, bukti kecekapan tatakelola kerajaan – PM

IPOH – Kerajaan berjaya merampas sehingga RM5 bilion wang rasuah hasil tatakelola atau tadbir urus yang dijalankan dengan baik dalam tempoh setahun.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia membuktikan kecekapan dan kesungguhan kerajaan bertindak bagi membersihkan gejala berkenaan.

“Ada orang menyindir dan sinis dengan soal tatakelola dan gerakan keras anti rasuah. Saya hendak beritahu berapa yang kita kumpul dalam satu, dua tahun ini. Di semua agensi dari orang politiknya ke jabatan, kementeriannya, dari imigresen kepada kastam berapa kita kumpul dalam setahun ini sudah RM4 hingga RM5 bilion yang dirampas daripada hasil rasuah.

“Negara ini kalau hendak diangkat martabat, harakat, darjatnya memerlukan kekuatan dan komitmen semua, tidak boleh lagi dengan cara yang biasa,“ katanya ketika berucap menyempurnakan perasmian Majlis Pecah Tanah Pembangunan Ipoh Sentral di perkarangan Stesen Keretapi Ipoh di sini pada Sabtu.

Hadir sama, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook.

RM5 bilion wang rasuah dirampas, bukti kecekapan tatakelola kerajaan - PM
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melawat reruai pameran Pembangunan Ipoh Sentral ketika majlis pecah tanah di pekarangan Stesen Keretapi Ipoh. Foto 16 OGOS 2025

Dalam pada itu, Anwar menegaskan, pembangunan projek mega perlu mengangkat budaya, tamadun dan teknologi baharu untuk negara dan rakyat secara keseluruhan.

“Sebab itu pembangunan kita yang baharu ini memikirkan soal itu (nilai masyarakat dan budaya) dan juga soal rakyat. Ada gedung-gedung besar, projek-projek megah yang sama sekali tidak ada manfaat langsung selain daripada rakyat terasa kagum, kita tak boleh pertahankan lagi konsep pembangunan sedemikian.

“Negara Madani itu harus sentiasa prihatin dan menyantuni rakyat, kalau tidak Madani itu tidak lebih dari slogan. Maka, harus difikirkan apakah ciri-ciri yang boleh mengangkat budaya, tamadun, teknologi baharu rakyat, negara dan rakyat keseluruhannya,“ jelasnya.

Menyentuh mengenai Ipoh Sentral, Perdana Menteri meminta agensi serta jabatan berkaitan meneliti kesemua aspek bagi memastikan projek tersebut berjalan lancar.

“Saya minta Menteri Besar, Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), saudara Loke, KPKT (Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan) dan Pendidikan (Kementerian Pendidikan) untuk melihat untuk mengkaji semua aspek (berkenaan projek itu).

“Walaupun sudah dirangka, apakah boleh kita baiki lagi. Ini kerana kalau kita dapat baiki, Ipoh Sentral akan menjadi salah satu model pembangunan seutuhnya yang terbaik dan boleh dijadikan contoh dalam negara. Saya akan turut bangga dengan perkara itu,“ ujarnya. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Kerjasama swasta bangunkan Ipoh Sentral kurangkan beban kewangan kerajaan

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI