IPOH – Kerajaan Negeri Perak memperuntukkan RM8.5 juta bagi perbelanjaan Program Sayangi Rumahku, Pinjaman Rumah Perakku Prihatin, penyelenggaraan Rancangan Perumahan Awam (RPA) dan Program Perumahan Rakyat (PPR).
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, kediaman yang selesa dan mampu milik merupakan asas kepada kesejahteraan rakyat.
Rumah bukan sekadar tempat berteduh, tetapi menjadi tonggak kestabilan institusi kekeluargaan dan bagi kebanyakan orang meskipun bagi keluarga yang kurang berkemampuan rumah itu adalah maruah kehidupan.
“Justeru, dalam Belanjawan Negeri Perak Tahun 2026 ini, Kerajaan Negeri menegaskan komitmen untuk memastikan rakyat, khususnya golongan berpendapatan rendah dan sederhana, berpeluang memiliki tempat tinggal yang selesa, selamat dan berkualiti
“Sejajar dengan aspirasi Perak Makmur, Rakyat Sejahtera, Kerajaan Negeri memperkukuhkan agenda perumahan rakyat dengan pendekatan bersepadu meliputi penyediaan rumah mampu milik, pembaikan kediaman usang, bantuan baik pulih rumah golongan miskin, serta pembangunan kawasan perumahan baharu yang terancang dan inklusif,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam Pembentangan Belanjawan Perak 2026 pada Mesyuarat Ketiga, Tahun Ketiga Dewan Negeri Perak Yang ke-15 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini, pada Selasa.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Tampan itu berkata, sebanyak RM3 juta diperuntukkan bagi perbelanjaan Program Sayangi Rumahku.
“Kerajaan Negeri turut memperuntukkan RM3 juta bagi program Pinjaman Rumah Perakku Prihatin diikuti RM1.5 juta kepada Lembaga Perumahan dan Hartanah Perak (LPHP) bagi penyelenggaraan RPA dan RM1 juta PPR oleh LPHP.,” katanya. -MG Perak


