KUALA LUMPUR – Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) akan memberi tumpuan kepada cabaran masyarakat menua menjelang 2030.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Zaliha Mustafa menekankan bahawa pihaknya telah merangka elemen penting yang perlu dimasukkan berkenaan masyarakat menua dalam pertemuan bersama Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli, baru-baru ini.
“Statistik semasa menunjukkan Malaysia telah mencapai 11% populasi warga emas (berusia 60 tahun ke atas) dan hanya memerlukan empat peratus lagi untuk memasuki kategori negara tua (14%).
“Dengan tempoh lima hingga enam tahun yang berbaki, kerajaan berusaha memperkukuh dasar dan program untuk menangani cabaran ini,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa sesi temu rapat bersama warga emas Wilayah Persekutuan di Institut Latihan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, di sini, hari ini.
“Kami akan memberikan fokus utama untuk memastikan kesejahteraan dan kualiti hidup golongan ini melalui inisiatif yang lebih inklusif dan terselaras.
“Saya akui usaha kerajaan dalam membantu warga emas masih bersifat berpecah-pecah, namun RMK-13 akan menjadi platform untuk menyelaraskan inisiatif-inisiatif yang lebih efektif.
“Kita perlu merangkul perancangan yang menyeluruh untuk memastikan setiap negeri bersedia menghadapi cabaran ini,” tambahnya.
Zaliha menekankan bahawa perancanvan dalam RMK-13 turut mengambil kira data populasi di mana wilayah Kuala Lumpur mencatat kadar warga emas sebanyak (9.18%), Labuan (8.3%), manakala Putrajaya lebih rendah pada (3.7%), disebabkan majoriti penduduknya adalah penjawat awam yang lebih muda.
“RMK-13 bukan sekadar pelan pembangunan ekonomi, tetapi juga platform penting untuk menyokong kesejahteraan sosial dan memastikan golongan warga emas diberi perhatian sewajarnya dalam usaha membangun negara,” ujarnya. – MalaysiaGazette