Rofidah warisi pembuatan cakar ayam dari nenek, ibu lebih 20 tahun

ASAL usul dari mana dan sejarah kuih tradisional Melayu ini kekal menjadi tanda tanya dek kerana ia terdapat di hampir semua negeri di Malaysia.

Jika di sebahagian negeri di Semanjung, ia lazimnya dihidangkan semasa acara kenduri-kendara mahupun perayaan seperti Hari Raya Aidilfitri, sementara di Sarawak disajikan ketika sambutan Hari Gawai.

Namun, ia diakui bahawa namanya mempunyai makna hampir sama dengan simpulan bahasa ‘cakar ayam’ yang bermaksud tulisan yang buruk.

warisan kuih cakar ayam Rofidah Tapah kuih tradisional Melayu cakar ayam Tapah usahawan desa Perak kuih warisan turun-temurun Rofidah Aminudin perusahaan kuih tradisional
Pengusaha kuih tradisional Melayu, Rofidah Aminudin, 61, ketika proses membuat kuih cakar ayam di Kampung Lubuk Katak, Tapah. Foto ABDULLAH YUSOF 20 JANUARI 2026.

Meskipun sekali pandang bentuknya tidak begitu menarik, namun ia mampu menambat rasa bagi mereka yang gemar kepada kuih yang memberikan rasa manis dan rangup.

Di Kampung Lubuk Katak, Tapah, Rofidah Aminudin, 61, masih kekal sebagai pengusaha kuih tradisional Melayu itu yang diwarisi diwarisi secara turun-temurun merentasi generasi.

Dia yang mengusahakan jenama ‘Rofidah: Cakar Ayam’ sejak lebih 20 tahun itu berkata, kemahiran membuat kuih itu diturunkan daripada nenek kepada ibunya yang hanya dengan menggunakan kaedah memotong ubi kayu menggunakan pisau.

“Nenek buat kuih cakar ayam dengan cara memarut ubi kayu menggunakan pisau dengan ia diparut halus-halus sebelum ke proses seterusnya sehingga digoreng dan sebagainya.

“Kemudian ilmu itu diturunkan kepada ibu, dan ia seterusnya diwarisi kepada saya dengan olahan menggunakan ubi keledek pula,” katanya ketika ditemui Malaysia Gazette (MG) Perak di kediamanya di Kampung Lubuk Katak, Tapah.

warisan kuih cakar ayam Rofidah Tapah kuih tradisional Melayu cakar ayam Tapah usahawan desa Perak kuih warisan turun-temurun Rofidah Aminudin perusahaan kuih tradisional
Pengusaha kuih tradisional Melayu, Rofidah Aminudin, 61, di Kampung Lubuk Katak, Tapah. Foto ABDULLAH YUSOF 20 JANUARI 2026.

Nenek kepada tujuh cucu itu memberitahu, dia pada awalnya kurang berminat dalam penghasilan kuih berkenaan, namun niatnya berubah kepada serius selepas mendapat galakan dan sokongan daripada suami, Muhammad Saman Abdul Razak, 68.

Menurut Rofidah, suaminya yang juga mahir dalam pertukangan besi membantunya dalam proses pengeluaran melalui penghasilan alatan seperti acuan besi dan sebagainya.

Dari ubi ke dulang hidangan

Di sebalik kerangupan kuih cakar ayam, Rofidah berkata, proses pembuatan kuih tradisional itu menuntut ketelitian dan kesabaran.

Jelasnya, proses penghasilan cakar ayam bermula dengan pemilihan ubi keledak yang berkualiti sebelum melalui proses seperti dikupas, direndam dan dikeringkan.

warisan kuih cakar ayam Rofidah Tapah kuih tradisional Melayu cakar ayam Tapah usahawan desa Perak kuih warisan turun-temurun Rofidah Aminudin perusahaan kuih tradisional
Pengusaha kuih tradisional Melayu, Rofidah Aminudin, 61, menggoreng ubi keledek ketika proses membuat kuih cakar ayam di Kampung Lubuk Katak, Tapah. Foto ABDULLAH YUSOF 20 JANUARI 2026.

“Ubi keledek perlu dikupas terlebih dahulu sebelum ia direndamkan ke dalam air. Ia kemudian dikeringkan sebelum dimasukkan dalam mesin khas pemarut ubi.

“Ia kemudian dimasukkan ke dalam kuali bersama minyak masak yang dipanaskan. Apabila adunan kelihatan sudah digoreng atau garing, air gula pula akan dimasukkan agar ia sebati,” katanya.

Rofidah berkata, cakar ayam yang siap kemudian dibawa keluar untuk dibentukkan sama ada dengan bentuk klasik mahupun apa-apa sahaja bentuk mengikut permintaan atau tempahan pelanggan.

Kuih cakar ayam bentuk sarang burung di Kampung Lubuk Katak, Tapah. Foto ABDULLAH YUSOF 20 JANUARI 2026.

Ujarnya, selain bentuk lazim iaitu bulat, dia berkata, cakar ayam juga boleh dihasilkan dalam pelbagai rekaan kreatif termasuk sarang burung, bakul, tepak sireh, ikan, hati dan sebagainya.

“Jika dilihat cara hendak buat pelbagai bentuk kuih ini nampak seperti mudah, namun jika tiada ketelitian ia tidak akan menjadi.

“Dalam banyak-banyak bentuk cakar ayam, antara yang sering menjadi pilihan untuk tempahan adalah bentuk sarang burung yang kemudian dijadikan sebagai buah tangan tetamu pada sebarang jenis majlis,” katanya.

Sokongan agensi, pemangkin kejayaan

Sepanjang perjalanan Rofidah bergelar sebagai sebagai seorang usahawan desa, ia diperkukuh melalui sokongan pelbagai agensi kerajaan dari peringkat daerah, negeri sehingga ke Persekutuan.

Berkat kecekalan dalam mengusahakan produk cakar ayam, Rofidah berkata, ia kemudian menjadi pembuka pintu rezeki buatnya apabila menerima bantuan berupa mesin khas parut ubi daripada Jabatan Pertanian.

Kuih cakar ayam milik pengusaha kuih tradisional Melayu, Rofidah Aminudin, 61, di Kampung Lubuk Katak, Tapah. Foto ABDULLAH YUSOF 20 JANUARI 2026.

“Jika sebelum ini menerusi kaedah secara manual iatu menggunakan alat penyagat tangan, saya hanya boleh proses ubi sebanyak 40 kilogram sahaja, dengan dibantu suami.

“Namun selepas ada mesin parut ubi ini, ia membantu saya untuk memarut ubi sehingga 60 kilogram dan ia dapat menghasilkan sekitar lebih 1,000 kuih cakar ayam dalam sehari,” ujarnya.

warisan kuih cakar ayam Rofidah Tapah kuih tradisional Melayu cakar ayam Tapah usahawan desa Perak kuih warisan turun-temurun Rofidah Aminudin perusahaan kuih tradisional
Pengusaha kuih tradisional Melayu, Rofidah Aminudin, 61, memarut ubi keledek menggunakan mesin ketika proses membuat kuih cakar ayam di Kampung Lubuk Katak, Tapah. Foto ABDULLAH YUSOF 20 JANUARI 2026.

Rofidah berkata, selain Jabatan Pertanian, dia juga turut menerima dorongan dan bantuan daripada pelbagai agensi lain termasuk Pertubuhan Peladang Kawasan, Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan.

Menurutnya lagi, antara bantuan yang diterima termasuk pembesaran bengkel penghasilan kuih cakar ayam di rumahnya, peralatan, pemasaran produk, penyertaan bengkel usahawan dan sebagainya.

“Saya juga menerima manfaat daripada program ‘Groom Big’ oleh SIRIM Berhad yang mana bantuan yang diterima adalah daripada reka cipta logo dan pembungkusan serta kod bar produk.

“Jika hendak dikira pada nilai bantuan saya menerima hampir RM10,000 secara keseluruhan yang mana jika saya buat secara sendiri, ia tidak mampu,” katanya lagi.

Rofidah (kanan gambar) menunjukkan demonstrasi penghasilan kuih cakar ayam kepada pengunjung di sebuah program di RTC Gopeng. Foto Ihsan Rofidah

Pada masa sama, pendedahan menerusi program ekspo dan program keusahawanan oleh Jabatan Pertanian dan Jabatan Penerangan termasuk di Pulau Pinang, Johor, Pahang dan Kelantan, telah membuka peluang pasaran lebih luas buat produk ‘Rofidah: Cakar Ayam’.

“Saya suka berjumpa dengan orang ramai dan menunjukkan kaedah pembuatan cakar ayam dengan niat untuk memberi pendedahan kepada umum tentang kuih tradisional ini.

“Malah saya ada pengalaman mengubah tanggapan segelintir orang kita yang menganggap kuih ini diperbuat daripada ikan bilis. Saya tunjukkan kepada dia bahawa sebenarnya ia dihasilkan daripada ubi keledek,” jelasnya.

Pertahankan warisan selagi hayat dikandung badan

Ketika meniti di usia emas, Rofidah berkata, ketika ini dia mengusahakan perusahaan cakar ayam mengikut kemampuan dan hanya bergantung sepenuhnya pada pesanan.

Dengan dibantu suami sebagai pemangkin semangat, dia berkata, nilai jualan boleh dianggarkan sekitar RM6,000 dengan ia bertambah pada musim cuti sekolah, kenduri perkahwinan serta menjelang Hari Raya Aidilfitri.

Kuih cakar ayam bentuk sarang burung di Kampung Lubuk Katak, Tapah. Foto ABDULLAH YUSOF 20 JANUARI 2026.

“Saya pernah menerima tempahan sehingga ke Singapura. Dia beritahu kepada saya bahawa dia mengenali produk saya ini selepas membelinya di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) di Seremban.

“Kebiasaanya jika ada yang memesan bekalan atau peniaga yang membeli produk saya, memang saya tidak akan bertanyakan hendak dijual di mana. Dan mungkin rezeki saya dapat tembus pasaran ke negara jiran,” katanya.

Dalam pada itu Rofidah berkata, tidak ramai golongan muda ketika ini yang mahu mengusahakan produk-produk kuih tradisional, sedangkan pasaran dan permintaanya amat tinggi ketika ini.

Justeru dia berkata, tangannya sentiasa terbuka untuk menurunkan ilmu kepada sesiapa yang benar-benar berminat mempelajari pembuatan kuih tradisional itu khususnya cakar ayam.

Pengusaha kuih tradisional Melayu, Rofidah Aminudin, 61, ketika proses membuat kuih cakar ayam di Kampung Lubuk Katak, Tapah. Foto ABDULLAH YUSOF 20 JANUARI 2026.
Pengusaha kuih tradisional Melayu, Rofidah Aminudin, 61, memarut halus-halus ubi keledek ketika proses membuat kuih cakar ayam di Kampung Lubuk Katak, Tapah. Foto ABDULLAH YUSOF 20 JANUARI 2026.

“Saya pernah menerima kehadiran individu daripada Ipoh yang ke sini untuk belajar tentang penghasilan kuih cakar ayam ini. Alhamdulillah, saya diberitahu dia pun sudah berjaya menjadi peniaga cakar ayam.

“Besar harapan saya agar warisan kuih tradisional Melayu dapat dipertahankan dan diteruskan pembuatanya oleh generasi muda agar ia tidak hilang ditelan zaman,” katanya lagi.

Kisah perjalanan Rofidah ini memperlihatkan kecekalan semangat usahawan desa yang dipangkin pelan pembangunan negeri, Perak Sejahtera 2030 cetusan Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad.

Ia khususnya melibatkan peranan pelbagai agensi kerajaan di bawah bawah andalan atau ‘flagship’ Program Pembolehdayaan Modal Insan dan Pembelajaran Sepanjang Hayat, serta Lembah Bakul Makanan Malaysia (Sekuriti Makanan). – MG Perak

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI