PARIT – Seorang anggota polis berpangkat sarjan yang didakwa merogol pelajar perempuan di Seri Iskandar, dekat sini, tahun lalu disambung reman selama sehari, di Mahkamah Majistret Parit.
Majistret Azlin Zeti Zainal Abidin membenarkan permohonan untuk menyambung reman lelaki itu bermula pada Rabu.
Lelaki berusia 42 tahun ditahan pada 28 Januari lalu di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan itu sebelum ini sedang direman selama empat hari.
Terdahulu, suspek tiba di perkarangan Mahkamah Majistret Parit pada jam 8.50 pagi dan keluar kira-kira sejam kemudian.
Media sebelum ini melaporkan kejadian rogol melibatkan pelajar Tingkatan Empat itu dikatakan berlaku dua kali, masing-masing di hadapan balai polis dan di kawasan parkir pasar raya dalam daerah Perak Tengah pada Julai dan Oktober tahun lalu.
Perbuatan suspek yang juga Timbalan Ketua Balai itu terbongkar selepas mangsa bertindak memberitahu ibunya, baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Hafezul Helmi Hamzah sebelum ini dilaporkan berkata, pihaknya menerima laporan berkaitan kes terbabit pada 20 Januari lalu. -MG Perak
Artikel Berkaitan:
[…] Rogol pelajar: Reman sarjan disambung sehari […]