IPOH – Umat Islam di negeri ini diingatkan agar tidak terjebak dengan budaya bermewah-mewah dan pembaziran makanan sepanjang bulan Ramadan, terutama menerusi penganjuran bufet di hotel dan restoran.
Teks Khutbah Jumaat Perak menekankan bahawa, ini kerana ibadah berpuasa seharusnya melatih Ummah agar makan dan minum secara sederhana, berjimat cermat serta tidak membazir.
Katanya, Ramadan juga sepatutnya menjadi bulan terbaik dalam mendidik diri agar lebih insaf terhadap kesusahan golongan miskin yang sering berdepan kesukaran mendapatkan keperluan makanan harian.
“Kini kita sedang menyaksikan umat Islam dihadapkan dengan ujian yang melibatkan aspek bermewah-mewah.
“Atas tujuan perniagaan dan keuntungan, hotel dan restoran semakin menjadi-jadi mempromosikan bufet Ramadan, (dengan) mengenakan harga yang tidak munasabah sehingga menyentuh ratusan ringgit (bagi) seorang.
“(Dan akhirnya) program bufet Ramadan menjadi medan menjamu selera secara berlebihan, (yang dilihat) jauh menyimpang daripada tujuan sebenar berpuasa,” katanya.
Teks khutbah yang bertajuk ‘Persediaan Jiwa Menyambut Ramadan’ disediakan Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) itu dibacakan di semua masjid dan surau diri Jumaat di Perak.
Ujar teks sama, keadaan itu membimbangkan apabila berlaku situasi yang mana pelanggan mengambil makanan dalam kuantiti yang berlebihan sehingga membawa kepada amalan pembaziran.
Tambahnya lagi, pengambilan makanan secara terlalu berlebihan juga mewujudkan amalan pemakanan secara tidak sihat atas perasaan ‘alang-alang sudah berbelanja mahal, biarlah kita makan selagi daya’.
“Di samping itu, solat Maghrib dilakukan tergesa-gesa, solat Isyak dilewatkan, dan peluang untuk berjemaah (menunaikan solat) Tarawih di masjid dan surau dipinggirkan.
“Apabila berbuka puasa dijadikan pesta makanan dan menjamu selera, roh tarbiah Ramadan semakin pudar.
“Matlamat berpuasa untuk mengekang hawa nafsu hanya bertahan di siang hari dan lenyap menjelang terbenam matahari,” ujarnya.
Justeru itu, teks khutbah Jumaat itu menekankan bahawa, jumlah wang yang dibelanjakan secara berlebihan itu lebih bermanfaat sekiranya dijadikan sumbangan untuk menaja makanan berbuka atau bersahur kepada golongan memerlukan.
“Ia lebih wajar disalurkan bagi sumbangan berbuka puasa kepada orang miskin, anak yatim, dan para pelajar di pelbagai institusi pengajian.
“(Malah ia juga wajar) disumbangkan (bagi) membiayai program-program menghidupkan Ramadan di masjid, surau serta pusat-pusat latihan dan pengajian,” katanya lagi.
Artikel Berkaitan:
Bazar Ramadan: Perak kekalkan syarat ada, fokus kebersihan alam sekitar


