Rokok elektronik ‘alat tulis’: Ibu bapa, PIBG diminta bantu sekolah pantau anak

IPOH – Ibu bapa diminta memantau anak masing-masing susulan kewujudan peranti rokok elektronik (vape) menyerupai perkakas alat tulis menggunakan label mengelirukan di pasaran.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Khairudin Abu Hanipah berkata, isu itu sememangnya menjadi perhatian Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), namun ia seharusnya tidak diletakkan pada bahu pihak sekolah sahaja.

Justeru katanya, peranan seperti Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) harus diperkasa agar murid tidak terjebak dengan penggunaan rokok elektronik seperti itu.

Rokok elektronik alat tulis Ibu bapa, PIBG diminta bantu sekolah pantau anak Khairudin murid
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Khairudin Abu Hanipah ketika sidang media Pertandingan Pidato Perak Sejahtera Piala Menteri Besar Perak Tahun 2024 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 07 NOVEMBER 2024.

“Ibu bapa juga perlu berperanan dan ambil berat dalam hal ini untuk memantau anak-anak mereka daripada terlibat dengan pembelian rokok elektronik menyerupai alat tulis itu.

“Mereka tidak boleh menyerahkan sepenuhnya kepada pihak sekolah untuk hal itu, kerana ada kala pihak sekolah berhadapan dengan kekangan seperti bilangan murid ramai, dan guru terhad.

“Justeru penglibatan ibu bapa atau PIBG sendiri penting dalam memastikan gejala menggunakan peranti rokok elektronik ke sekolah ini dapat dibendung,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Majlis Pertandingan Pidato Perak Sejahtera Piala Menteri Besar Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan, dekat sini, pada Khamis.

Rokok elektronik alat tulis Ibu bapa, PIBG diminta bantu sekolah pantau anak Khairudin murid
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Khairudin Abu Hanipah bergambar bersama penerima Piala Pusingan Pertandingan Pidato Perak Sejahtera Piala Menteri Besar Perak Tahun 2024 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 07 NOVEMBER 2024.

Khairudin terdahulu diminta mengulas berkenaan penjualan peranti rokok elektronik menyerupai perkakas alat tulis dengan menggunakan label mengelirukan yang mendatangkan kebimbangan umum.

Naib Pengerusi Kanan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Datuk Seri Ayub Yaakob, dilaporkan berkata tindakan peniaga yang memasarkan barangan, termasuk pelekat menyerupai perkakas alat tulis seperti highlighter, gam dan pena penanda adalah tidak bertanggungjawab.

Pada masa sama, Khairudin memberitahu Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) juga ada mengambil langkah perlu dengan mengadakan pemeriksaan mengejut atau ‘spot check’ ke atas murid sekolah secara rawak.

Rokok elektronik alat tulis Ibu bapa, PIBG diminta bantu sekolah pantau anak Khairudin murid
Johan Pidato Kategori Institut Pengajian Tinggi, Muhammad Aidil Ahmad Marzuki pada Pertandingan Pidato Perak Sejahtera Piala Menteri Besar Perak Tahun 2024 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 07 NOVEMBER 2024.

Jelas beliau, tindakan itu diambil bagi memastikan murid di semua sekolah bebas daripada sebarang penyalahgunaan barang terlarang termasuk penggunaan rokok elektronik.

Tambah beliau lagi, penggunaan peranti itu harus dibendung dalam kalangan murid sekolah kerana jika dibiarkan tanpa tindakan, ia dibimbangi akan membawa golongan itu dengan aktiviti penyalahgunaan dadah.

“Ada juga tindakan diambil PPD dengan kerjasama Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) melalui pemeriksaan rawak kepada murid sekolah.

“Kita tidak mahu isu-isu yang berkaitan dengan kes salah laku murid ini (terus berlaku dan akhirnya) menyebabkan mereka ini tidak menumpukan kepada pengajaran, wujud sikap ingin ponteng dan sebagainya,” katanya lagi.

Pada majlis, Khairudin menyampaikan hadiah kepada pemenang Pertandingan Pidato Perak Sejahtera Piala Menteri Besar Perak iaitu wang tunai dan piala mengikut kategori masing-masing.

Mohamad Ayris Hejril Ahmad Hazlizul dan Amira Ariesya Azmin masing-masing dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Malim Nawar menjadi juara bagi kategori Pidato Bergandingan Menengah Atas.

Johan Pidato Kategori Bergandingan Peringkat Sekolah Menengah Atas, Mohamad Ayris Hejril Ahmad Hazlizul (kanan) dan Amira Ariesya Azmin (kiri) membawa pulang wang RM1,500 dan trofi pada Pertandingan Pidato Perak Sejahtera Piala Menteri Besar Perak Tahun 2024 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 07 NOVEMBER 2024.

Sementara pelajar dari SMK Jati dan Sekolah Menengah Tunku Abdul Rahman (STAR), Nur Elyana Elisya Nor Haslan dan Nor Aiman Danish Nor Haslan dinobatkan sebagai juara kategori Pidato Bergandingan Menengah Rendah.

Juara acara Pidato Bergandingan Sekolah Rendah disandang wakil SMK Tarcisian Convent, Nur Zara Insyirah Anuar dan Iris Zara Sofia, sementara Muhammad Aidil Ahmad Marzuki dari Kolej Matrikulasi Perak menjulang piala johan Pidato Kategori Institusi Pengajian Tinggi (IPT). – MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

Larangan pamer produk vape, rokok perlu dikuatkuasa segera

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI