KUALA LUMPUR – Rakyat Malaysia akan menikmati harga RON95 lebih rendah iaitu RM1.99 seliter susulan penyasaran subsidi RON95 akhir September ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan komited menyasarkan perbelanjaan subsidi negara dengan rakyat biasa kekal menikmati subsidi sementara menangani ketirisan kepada mereka yang tidak layak.
“Penstrukturan tarif elektrik telah berkuat kuasa mulai Julai 2025. Kendatipun ada pihak tidak bertanggungjawab mendakwa bil elektrik rakyat naik susulan penstrukturan ini, hakikatnya, 85% pengguna domestik menikmati penurunan bil elektrik Julai 2025 bagi penggunaan yang sama ketimbang separuh tahun pertama 2025 iaitu sehingga 14%,” katanya dalam semasa mengumumkan Penghargaan Untuk Rakyat Malaysia hari ini.
Seterusnya, menurut Anwar, kerajaan kekal dengan perancangan menyasarkan subsidi petrol RON95 dengan perincian bakal diumumkan menjelang akhir September 2025.
“Apa yang pasti, sepertimana pendekatan penyasaran subsidi elektrik, kerajaan beri jaminan rakyat biasa tidak akan terjejas bahkan, sukacita saya umumkan harga petrol RON95 akan turun untuk rakyat
“Apabila penyasaran subsidi RON95 dilaksanakan nanti, rakyat Malaysia akan menikmati harga RON95 lebih rendah iaitu RM1.99 seliter.
“Ini tentunya beri manfaat sekitar 18 juta pemandu kereta dan penunggang motosikal termasuk belia seawal usia 16 tahun dan pekerja gig,” katanya.
Pendekatan bersasar itu, menurut beliau, sejajar dengan ikhtiar Kerajaan untuk mengoptimum sumber negara bagi manfaat rakyat dan mengurangkan pembaziran subsidi.
“Bagi tahun 2023 dan 2024, subsidi RON95 sahaja dianggarkan menelan belanja hampir RM20 bilion setahun—sungguhpun tahun ini harga minyak dunia mengalami penyusutan, harga petrol RON95 tanpa subsidi masih sekitar RM2.50 seliter jauh lebih tinggi daripada harga bersubsidi untuk rakyat,” katanya.
Pada masa yang sama, warganegara asing perlu membayar pada harga pasaran tanpa subsidi.- MalaysiaGazette