‘Rosea Lip Balm’ bawa tuah kepada Koperasi SMK Rungkup wakil Perak

MESKIPUN berada di luar bandar, namun ia tidak menjadi tembok penghalang kepada sesiapa yang sentiasa berusaha untuk mencapai kejayaan tersendiri.

Atas tekad dan semangat yang dibina, Koperasi Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Rungkup Berhad dinobatkan sebagai johan Pertandingan Asas Keusahawanan Anak Remaja (AKAR) dan Asas Keusahawanan Koperasi (AKSI) Peringkat Negeri Perak 2025.

Selain menerima Anugerah Persembahan Terbaik, koperasi sekolah di Bagan Datuk itu turut mengukir kenangan manis berganda apabila diumumkan sebagai wakil negeri ke pertandingan peringkat kebangsaan minggu hadapan di Putrajaya.

Rosea Lip Balm Koperasi SMK Rungkup produk roselle Perak, keusahawanan pelajar, Koperasi SMK Rungkup Berhad, Pertandingan AKAR AKSI 2025, usahawan muda sekolah, produk tempatan roselle
Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Rungkup meraikan kemenangan tempat pertama Pertandingan Asas Keusahawanan Anak Remaja (AKAR) dan Asas Keusahawanan Koperasi (AKSI) Peringkat Negeri Perak Tahun 2025 di RTC Perak, Gopeng. Foto ABDULLAH YUSOF, 13 OKTOBER 2025.

Produk taruhan mereka pelembap bibir semula jadi berasaskan buah roselle yang diberi nama ‘Rosea Lip Balm’ telah memikat juri dan seterusnya Koperasi SMK Rungkup Berhad berjaya membawa pulang hadiah wang tunai RM3,000 dan RM500.

Menurut Guru Pembimbing Koperasi, Nor Hafizah Mohamed Jubi, kejayaan itu adalah hasil kerjasama erat antara ahli lembaga koperasi (ALK), guru dan pelajar yang menumpahkan komitmen penuh sepanjang proses penghasilan produk.

Katanya, mereka tidak semenangnya menjangkakan kemenangan berkenaan tatkala ia merupakan pengalaman kali pertama dinobatkan sebagai pasukan yang akan mewakili negeri ke peringkat kebangsaan.

Rosea Lip Balm Koperasi SMK Rungkup produk roselle Perak, keusahawanan pelajar, Koperasi SMK Rungkup Berhad, Pertandingan AKAR AKSI 2025, usahawan muda sekolah, produk tempatan roselle
Guru Pembimbing Koperasi Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Rungkup, Nor Hafizah Mohamed Jubi. Foto ABDULLAH YUSOF, 13 OKTOBER 2025.

“Koperasi kami telah ditubuhkan sejak pada tahun 2002, namun projek penghasilan Rosea Lip Balm hanya bermula awal Mei tahun ini.

“Kami mulakan dengan kajian tindakan di kelas yang mana pelajar buat penyelidikan tentang potensi buah roselle dalam produk penjagaan diri.

“Dan daripada situ kami nampak produk ini bukan sahaja boleh memberi impak kepada pelajar, tetapi juga boleh dikomersialkan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis.

Terdahulu Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad menyampaikan cek cura kepada para pemenang bagi Pertandingan Akhir AKAR, AKSI dan Junior Food Security Innovation Challenge (JSINC) Peringkat Negeri Perak 2025 di Pusat Transformasi Bandar (RTC) Gopeng, pada Isnin.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad menyampaikan hadiah tempat pertama kepada Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Rungkup pada Majlis Perasmian Pertandingan Asas Keusahawanan Anak Remaja (AKAR), Asas Keusahawanan Koperasi (AKSI) dan Junior Food Security Innovation Challenge (J-SINC) Peringkat Negeri Perak Tahun 2025 di RTC Perak, Gopeng. Foto ABDULLAH YUSOF, 13 OKTOBER 2025.

Nor Hafizah berkata, produk pelembap bibir menjadi pilihan koperasi memandangkan produk kosmetik terutama yang berasaskan kepada bahan semulajadi mempunyai potensi besar dalam pasaran masa kini.

Kata beliau, walaupun baru beberapa bulan dipasarkan, produk Rosea Lip Balm yang dihasilkan Koperasi SMK Rungkup Berhad telah menunjukkan prestasi jualan memberangsangkan.

Rosea Lip Balm Koperasi SMK Rungkup produk roselle Perak, keusahawanan pelajar, Koperasi SMK Rungkup Berhad, Pertandingan AKAR AKSI 2025, usahawan muda sekolah, produk tempatan roselle
Produk pelembap bibir semula jadi berasaskan kepada buah roselle yang diberi nama ‘Rosea Lip Balm’ Koperasi Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Rungkup Berhad. Foto ABDULLAH YUSOF, 13 OKTOBER 2025.

“Setakat ini sebanyak 182 unit telah berjaya dijual dan menembusi pasaran di peringkat komuniti setempat.

“Malah, koperasi juga sudah mula mencatat keuntungan selepas mencapai titik pulangan modal, dengan hasil keseluruhan dianggarkan bernilai antara RM2,000 hingga RM3,000,” katanya.

Proses R&D membuahkan hasil

Menurut kajian, roselle atau nama saintifiknya hibiscus sabdariffa kaya dengan kandungan yang baik untuk tubuh badan termasuk vitamin C dan antioksidan.

Sementara produk Rosea Lip Balm juga dihasilkan dengan ekstrak bahan semula jadi seperti minyak kelapa, minyak pepermin, minyak badam dan sebagainya.

Nor Hafizah memberitahu, proses penyelidikan dan pembangunan (R&D) produk tersebut mengambil masa kira-kira empat bulan melibatkan empat orang guru dan enam pelajar.

Produk pelembap bibir semula jadi berasaskan kepada buah roselle yang diberi nama ‘Rosea Lip Balm’ Koperasi Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Rungkup Berhad. Foto ABDULLAH YUSOF, 13 OKTOBER 2025.

Beliau berkata, Rosea Lip Balm hadir dalam dua variasi iaitu versi tanpa warna yang sesuai untuk kegunaan lelaki, serta tiga pilihan warna lembut untuk pengguna wanita.

“Pada awalnya kami hasilkan produk ini menerusi versi tanpa label. Selepas beberapa kali percubaan, kami perbaiki dari segi bahan, tekstur dan pembungkusan.

“Kini kami keluarkan versi baharu dengan label rasmi dan rekaan pembungkusan yang lebih menarik serta mempunyai nilai komersial,” jelasnya.

Mengulas tentang persiapan menghadapi saingan di peringkat kebangsaan, Nor Hafizah berkata, pasukan Koperasi SMK Rungkup Berhad akan membuat beberapa penambahbaikkan termasuk dari segi produk dan persembahan.

Rosea Lip Balm Koperasi SMK Rungkup produk roselle Perak, keusahawanan pelajar, Koperasi SMK Rungkup Berhad, Pertandingan AKAR AKSI 2025, usahawan muda sekolah, produk tempatan roselle
Produk pelembap bibir semula jadi berasaskan kepada buah roselle yang diberi nama ‘Rosea Lip Balm’ Koperasi Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Rungkup Berhad. Foto ABDULLAH YUSOF, 13 OKTOBER 2025.

“Kami akan tambah baik daripada aspek persembahan dan reruai untuk peringkat kebangsaan nanti. Harapan kami, semoga usaha ini bukan saja bawa kemenangan, tapi juga jadi inspirasi kepada pelajar lain,” ujarnya.

Kejayaan Koperasi SMK Rungkup Berhad ini membuktikan semangat inovasi dan keusahawanan boleh disemai melalui kerjasama erat antara tenaga muda dan guru sebagai pembimbing.

Kemenangan yang diraih bukan sekadar dalam bentuk hadiah wang tunai semata-mata, tetapi ia juga dilihat mampu membina keyakinan generasi muda untuk menjadi usahawan yang berjaya pada masa hadapan.

 

Artikel Berkaitan:

Perkasa platform latih anak muda lahirkan usahawan teknologi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI